'MotoGP Jadi Makin Membosankan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/7/20251 min read


KEJUARAAN Motosikal Dunia atau lebih dikenali sebagai MotoGP sudah menjadi semakin membosankan, kata legenda kejuaraan itu, Kevin Schwantz.
Schwantz yang menjulang gelaran dunia pada 1993 kekal aktif di kejuaraan berkenaan sebagai pengulas dan pemerhati terutama di negara kelahirannya Amerika Syarikat.
Tetapi selepas menghadiri Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Cremona, Itali, ada kata-kata yang boleh dikatakan 'pedih' keluar daripada mulutnya.
"Superbike sentiasa perlumbaan yang bagus. Saya ada bersembang sebelum ini dan berkata, 'Saya fikir MotoGP menjadi semakin bosan, jadi saya datang ke sini untuk melihat perlumbaan'," kata Schwantz kepada Speedweek.
Schwantz dalam pada itu menegaskan pelumba-pelumba terbaik di WorldSBK berupaya untuk beraksi di MotoGP.
"Sudah pasti. Elektronik yang ketika ini berada di jentera Superbike sudah tentu tidak sama dengan jentera di MotoGP," katanya.
"Tetapi saya fikir pelumba-pelumba Superbike boleh menunggang jentera MotoGP serta merta. Toprak (Razgatlioglu), Nicolo (Bulega) dan mereka semua.
Schwantz dalam pada itu turut kagum dengan kemampuan Razgatlioglu.
"Toprak menunjukkan yang dia boleh melakukan apa saja dengan jenteranya. Saya boleh berlumba dengan motosikal dan menunggang jentera 500 (cc). Tetapi saya fikir Toprak menunjukkan yang kemahirannya sebagai penunggang motosikal, dengan 'stoppie' dalam sebagainya, dan cara dia mengawal jentera menakjubkan.
"Bulega pula seorang yang agak tenang, tetapi kedua-duanya berada di tahap tertinggi ketika ini."
