MotoGP: Jurang Dengan Ducati Masih Besar, Tapi Yamaha Tak Panik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/15/20241 min read

YAMAHA tidak berselindung untuk mengakui jurang pasukan itu dengan pencabar lain di MotoGP terutama Ducati masih ada namun ia bukan sesuatu yang mampu mencetus kebimbangan.

Pasukan itu pada musim ini membangunkan enjin baharu, memperbaiki pakej aerodinamik dengan peningkatan dapat dilihat ketika ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Sepang, minggu lalu.

Ketika Ducati menerusi Francesco Bagnaia mencipta rekod terpantas baharu di Sepang (1:56.682s), Fabio Quartararo mencatatkan masa ke-11 terpantas (1:57.525s) manakala Alex Rins ke-15 terpantas (1:57.879s).

Mengulas mengenai prestasi Yamaha M1 2024, Pengarah Pasukan Monster Yamaha, Massimo Meregalli akur yang jurang masih ada namun percaya ia akan mengecil ketika musim berlangsung dan tak bimbang.

"Kini jika saya perlu memberitahu kawasan mana yang perlu dipertingkatkan ia adalah kelayakan," kata Meregalli.

"Memang benar masih ada jurang yang kami perlu tutup. Kami akan mempunyai banyak masa untuk memperbaikinya pada musim ini untuk menjadikannya kecil dan kecil. Tetapi kami tidak bimbang.

"Bahagian utama yang kami sedang berusaha keras adalah enjin dan aerodinamik dan kami juga memperkenalkan peranti 'holeshot' belakang yang baru.

"Kesemuanya sah digunakan dan dipersetujui oleh kesemua penunggang. Cal [Crutchlow], Fabio [Quartararo] dan Alex [Rins].

"Jentera semakin laju dan aerodinamik membantu pelumba untuk mengambil selekoh dan peranti permulaan belakang membuatkan jentera makkn kurang melakukan 'wheelie' dan memberikan lebih pecutan."

Selain Ducati, KTM dan Aprilia juga dikatakan memiliki kelebihan berbanding Yamaha yang menyaksikan kedudukan podium makin sukar diraih jika penambahbaikkan tidak berjaya diperoleh.