MotoGP Kekal Dengan 11 Pasukan, Apa Cerita BMW?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/13/20241 min read
MANA-mana pengeluar motosikal yang ingin menyertai MotoGP selepas ini perlu bergabung dengan pasukan sedia ada di kejuaraan itu untuk bertanding, kata bos Dorna, Carlos Ezpeleta.
Perkembangan itu - yang mungkin mengecewakan beberapa pengeluar terutama BMW Motorrad - disuarakan Ezpeleta dalam satu temuramah bersama Speedweek.com, baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Kesukanan Dorna itu, slot yang kosong susulan penarikan diri pengeluar Jepun Suzuki tidak lagi tersedia untuk projek baharu dengan kejuaraan itu akan kekal menyenaraikan 11 pasukan di masa depan.
"Pada akhirnya, apa yang penting kepada kami adalah kualiti daripada kesemua 11 pasukan," kata Ezpeleta.
"Sama ada mereka dibekalkan dengan lima atau enam pengeluar ia adalah perkara yang berbeza. Tetapi bukan rahsia yang keutamaan kami ketika ini adalah lima pengeluar.
"Ini tidak bermakna yang kami mahu menghalang pengeluar keenam untuk masuk, tetapi ia bermakna pengeluar itu perlu mengadakan kerjasama dengan salah satu daripada pasukan yang ada.
"11 pasukan, 22 pelumba, dan ia adalah muktamad."
Kenyataan Ezpeleta jelas menunjukkan MotoGP yang mendapat pemilik baharu, tahun ini tidak berminat untuk meningkatkan jumlah pelumba di grid perlumbaannya.
BMW Motorrad yang ketika ini beraksi dalam kancah WorldSBK menjadi pasukan yang dikhabarkan serius untuk menyertai MotoGP di masa depan dengan perkembangan terbaharu itu berkemungkinan memberi kejutan.
Penarikan Suzuki pada penghujung musim 2022 menyaksikan MotoGP kini hanya membariskan 11 pasukan sejak 2023.
Sebagai rekod, Aprilia sebelum bergelar pasukan 'kilang' menyertai kempen itu dengan bergabung dengan pasukan satelit Gresini.