MotoGP Kini Rasmi Milik Pemilik F1, Liberty Media

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/1/20241 min read

LIBERTY Media, pemilik perlumbaan Formula 1 (F1) mengesahkan pengambilalihan berstatus mega, € 4.2 bilion (RM 21.3 bilion) bagi mendapatkan hak penganjuran MotoGP daripada Dorna.

Perkembangan itu menyaksikan kedua-dua perlumbaan premier sukan permotoran dua dan empat roda global kini berada di bawah satu bumbung.

Menerusi perjanjian berkenaan, Liberty Media yang berpangkalan di Amerika Syarikat memperoleh kira-kira 86 peratus kepentingan syarikat pengelola MotoGP, Dorna.

Pengambilalihan itu dijangka lengkap pada penghujung 2024 namun masih bergantung kepada pelepasan dan kelulusan pihak berkuasa persaingan dan undang-undang pelaburan asing dalam pelbagai bidang kuasa.

Di bawah terma pengambilalihan MotoGP oleh Liberty Media, Dorna akan kekal sebagai syarikat yang mengendalikan perlumbaan MotoGP namun disenarai di bawah Formula One Group.

Bos Dorna, Carmelo Ezpeleta akan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pasukannya akan terus beroperasi di Madrid, Sepanyol.

Selain itu, pengurusan Dorna juga mengekalkan 14 peratus pegangan saham di syarikat itu.

Presiden dan CEO Liberty Media, Greg Maffei berkata: "Kami teruja untuk mengembangkan portfolio kami dan aset sebagai peneraju siaran langsung sukan dan hiburan dengan pengambilalihan MotoGP.

"MotoGP adalah liga global dengan pangkalan peminat yang setia dan bersemangat, perlumbaan yuang menghiburkan dan menjana aliran tunai dan profil kewangan yang tinggi."

MotoGP akan kembali beraksi dalam tempoh dua minggu untuk Pusingan 3 di Amerika Syarikat.

Sejak mengambil alih F1 pada 2016, Liberty Media memperoleh banyak pujian atas usahanya meningkatkan populariti sukan berkenaan.