MOTOGP: KTM Singkir Jack Miller Bagi Laluan Kepada Pedro Acosta?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/26/20231 min read

SATU lagi teori timbul apabila pelumba MotoGP Australia, Jack Miller dilaporkan akan menjadi mangsa 'kemelut' KTM yang sedang mencari lebihan slot di grid MotoGP musim depan.

KTM ketika ini sudah mempunyai lima pelumba berkontrak untuk berlumba dalam kempen MotoGP musim depan tetapi setakat ini, hanya empat tempat berjaya dimiliki.

Justeru, timbul persoalan besar bagaimana mereka ingin membawa 'anak emas' pasukan itu, Pedro Acosta daripada Moto2 ke kempen elit yang menyaksikan pelbagai cara dipertimbangkan.

Memetik laporan penyiar DAZN, Pedro Acosta akan tetap bergelar pelumba MotoGP musim depan. Dan untuk itu, jika ada keperluan perubahan peraturan atau menyingkirkan Jack Miller daripada KTM, ia akan dilakukan.

Wartawan DAZN, Ricard Jove melaporkan: Sama ada KTM memperoleh lima slot di grid atau saya mula merasakan yang mangsa bagi Acosta mendapatkan tempat (MotoGP) adalah Jack Miller.

"Saya tahu, dia mempunyai kontrak, seperti Pol, tetapi saya tidak tahu apa yang boleh difikirkan lagi!

"Saya yakin yang akan ada lima jentera KTM. Tetapi jika tidak, rasa hati saya memberitahu yang seseorang perlu dikorbankan dan orang itu adalah Miller."

Gandingan Brad Binder dan Miller ketika ini menjadikan KTM sebagai antara pencabar utama Ducati bagi pemburuan kejuaraan MotoGP musim ini dengan keempat-empat pelumbanya, termasuk dari pasukan Tech3 GasGas memiliki kontrak sehingga 2024.

Setakat ini, harapan KTM untuk membeli pasukan satelit MotoGP, atau apa saja cadangan untuk menyenaraikan Acosta sama ada tidak berjaya atau ditolak oleh pengendali kejuaraan itu, Dorna.