MotoGP Lebih Baik Berbanding F1 - Jose Mourinho

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/29/20241 min read

JOSE Mourinho, pengurus bola sepak berstatus legenda di Portugal menyifatkan perlumbaan elit dua roda, MotoGP lebih baik berbanding perlumbaan Formula Satu (F1).

Begitupun, kata-kata itu tidak keluar daripada mulut pengendali dengan julukan 'Special one' itu kepada wartawan, namun diberitahu oleh pelumba MotoGP Portugal, Miguel Oliveira.

Mourinho yang juga bekas pengendali Chelsea, Manchester United dan Real Madrid menjadi tetamu kehormat di Grand Prix (GP) Portugal 2024 yang berlangsung di Portimao minggu lalu.

"Dia (Mourinho) menonton MotoGP," kata Oliveira yang menamatkan Perlumbaan Sprint di tangga ke-11 dan ke-9 dalam perlumbaan GP Portugal 2024.

"Dia menyukainya. Dia mengaku kepada saya yang ia lebih baik berbanding F1, dan dia sudah pergi menyaksikan beberapa perlumbaan F1.

"Jadi itu adalah sesuatu yang mengujakan untuk didengar. Ia hanya sembang biasa. Menarik untuk bertemunya."

Oliveira yang juga bekas pelumba RNF Racing yang kini bersama Trackhouse Aprilia menjadi wira dan mendapat sokongan padu daripada peminat tuan rumah.

Ketika beraksi bersama pasukan KTM Tech3 pada 2020, Oliveira meraih keputusan terbaiknya di Portimao apabila menamatkan perlumbaan sebagai juara.