MOTOGP Pernah Lagi Popular Dari F1 - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/28/20231 min read

PEMENANG enam kali gelaran dunia MotoGP, Marc Marquez akur yang populariti perlumbaan elit dua roda itu ketika ini berada di belakang perlumbaan Formula 1 (F1).

Ketika ditanya mengenai 'pertarungan' membabitkan sukan permotoran di dunia di antara MotoGP dan F1, Marquez menjelaskan siri perlumbaan yang disertainya pernah menjadi lebih popular berbanding F1.

"Ketika ini, kita semua perlu berlaku jujur," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu dalam satu temuramah bersama talkSPORT memetik laporan Crash.net.

"Selepas pandemik, MotoGP bekerja dengan amat keras untuk memulihkan popularitinya.

"Kini, kami adalah sebahagian daripada persembahan ini. Kami tidak berada di tahap yang terbaik.

"Pada 2018 dan 2019, kami lebih popular berbanding Formula 1. Kini ia sebaliknya.

"Tetapi ini juga satu persaingan. Mereka bekerja keras. Saya tahun yang Dorna bekerja dengan amat keras untuk mengembalikan persembahan di atas litar," kata Marquez.

Selepas menjulang kejuaraan dunia MotoGP terakhirnya pada musim 2019, Marquez berdepan pelbagai siri kecederaan yang mengakibatkan 'perjalanannya' memburu gelaran ke-7 MotoGP tidak kesampaian hingga kini.

Ia ditambah dengan kegagalan Honda untuk membekalkan jentera berkualiti atau mampu bersaing dengan jentera pengeluar Eropah yang mengakibatkan Marquez angkat kaki dan menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini musim depan.

Sebagai perbandingan mudah dan berdasarkan angka 'pengikut' di media sosial FB, MotoGP memiliki pengikut sekitar 18 juta manakala F1 13 juta.