MotoGP Pinda Peraturan, Permohonan Aprilia, Jorge Martin Ditunaikan!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/6/20251 min read


CADANGAN asal yang dibuat oleh Aprilia Racing terhadap pelumbanya, Jorge Martin iaitu untuk membenarkan pelumba MotoGP yang mengalami kecederaan menyesuaikan diri dengan jentera sebelum kembali berlumba ditunaikan.
Berdasarkan pindaaan peraturan, pelumba tetap MotoGP yang terlepas sekurang-kurangnya tiga acara perlumbaan kini dibenarkan menjalani ujian sebelum menyertai perlumbaan.
Takrifan tiga acara itu adalah termasuk minggu perlumbaan MotoGP atau ujian rasmi yang berlangsung lebih daripada satu hari.
Ujian yang dibenarkan adalah sehari sebelum mereka kembali menyertai perlumbaan.
Dan ia turut perlu mematuhi syarat-syarat seperti ia mestilah di litar yang dibenarkan berdasarkan status konsesi pengeluar atau di litar tanpa perlumbaan MotoGP dalam baki musim semasa.
Ujian itu juga tidak boleh berjalan kurang daripada lapan minggu sebelum acara MotoGP di litar yang sama.
Dari sudut penggunaan tayar, ia terhad kepada maksimum tiga set dari peruntukan pasukan ujian pengeluar untuk musim berkenaan.
Selain itu, ujian selepas perlumbaan turut dikira sebagai sebahagian daripada hujung minggu perlumbaan yang bermakna pelumba yang menyertainya tidak boleh melakukan ujian satu hari tambahan.
Martin yang ketika ini mengalami kecederaan serius ketika perlumbaan Grand Prix Qatar akan memperoleh manfaat daripada pindaan peraturan ini.
Selain itu, pelumba Portugal dan Trackhouse Aprilia, Miguel Oliveira juga kini turut memenuhi syarat untuk ujian sehari sebelum kembali ke perlumbaan.
