MotoGP Tak Tolak Kemungkinan Ubah Lokasi GP Qatar

Langkah itu menganjurkan perlumbaan MotoGP GP Qatar berpotensi menjejaki strategi Formula Satu (F1) yang baru-baru ini memutuskan untuk memindahkan GP Bahrain ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Malaysia pada 4 Oktober

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/12/20261 min read

PENGANJUR Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak menolak kemungkinan memindahkan perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar 2026 ke destinasi berbeza susulan ketidaktentuan akibat ketegangan konflik yang sedang melanda rantau Asia Barat ketika ini.

Langkah itu berpotensi menjejaki strategi Formula Satu (F1) yang baru-baru ini memutuskan untuk memindahkan GP Bahrain ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Malaysia pada 4 Oktober.

Berdasarkan jadual asal, GP Qatar di Litar Lusail sudah pun ditunda ke 8 November ini.

Pengarah Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta mengakui idea itu sedang dipertimbangkan memandangkan mereka berada di bawah entiti yang sama dengan F1, iaitu Liberty Media.

Begitupun, Ezpeleta menegaskan kalendar 21 perlumbaan semusim sudah cukup memadai dari sudut komersial.

Selain mengambil kira jaminan keselamatan, MotoGP SEG terpaksa meneliti alternatif lain kerana beberapa syarikat pembekal kejuaraan difahamkan terikat dengan polisi dalaman yang melarang pekerja mereka dihantar ke zon berisiko tinggi.

Dari sudut logistik, usaha mencari litar pengganti pada saat akhir adalah sangat rumit kerana ia perlu mematuhi piawaian keselamatan ketat, ketersediaan litar, dan kelancaran peralihan kargo bagi mengharungi GP Portugal yang dijadualkan berlangsung hanya dua minggu selepas itu.

Dalam ada itu, konflik yang berlarutan bukan sahaja menjejaskan penganjuran tahun ini, malah berisiko merombak jadual awal musim 2027 yang pada asalnya menetapkan Qatar sebagai hos pusingan kedua pada Mac, seminggu selepas aksi pembuka tirai di Thailand.