MOTOPLEX JB Rasmi 'Buka Pintu', Pusat Sehenti Lengkap Geng Vespa, Aprilia, Moto Guzzi Dah Ada Di Selatan!
PELANCARAN
7/12/20231 min read
PEMINAT dan pemilik empat jenama motosikal Itali, Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di selatan tanah air kini tidak perlu pergi 'jauh' menerusi pembukaan pusat sehenti lengkap jenama itu - Motoplex Johor Bahru.
Perasmian Motoplex JB, semalam itu mengikuti pembukaan Motoplex pertama di Petaling Jaya dan Butterworth, Pulau Pinang sebelum ini.
Sebagai info, Motoplex JB diuruskan oleh Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd (sama seperti PJ) menerusi syarikat pengedar dan pengimport Didi Group.
Berada di lokasi strategik di tengah pusat bandar, Motoplex JB menempatkan pusat pameran dan jualan berkeluasan 2,700 kaki persegi dan pusat servis berkeluasan 1,300 kaki persegi yang memiliki 3 'service bay'.
Pengarah Urusan Didi Group, Goh Kian Sin berkata pembukaan Motoplex JB membantu meningkatkan kehadiran dan kepercayaan jenama itu di pasaran Malaysia.
"Menerusi MotoPlex, kami boleh memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan berpotensi yang mencari-cari motosikal jenama ikonik Itali di bawah satu bumbung," katanya.
"Kami sudah melihat kejayaan daripada konsep Motoplex di PJ dan Butterworth. Konsep ini memang cukup sesuai dengan pasaran Malaysia dan selari dengan pelan perniagaan Didi Group di Malaysia," katanya.
Seperti diketahui, Motoplex adalah pusat sehenti lengkap atau popularnya 4S yang menempatkan pusat pameran, jualan dan perkhidmatan lepas jualan jenama yang bernaung di bawah syarikat itu.
Alamat Motoplex JB
No. 69, Jalan Ibrahim Sultan,
Taman Stulang Laut,
80300 Johor Bahru, Johor