MOTOPLEX Sg Buloh Dirasmikan, Terbesar Di Asia Tenggara!

PELANCARAN

2/5/20241 min read

PIAGGIO Malaysia merakam satu lagi sejarah dengan merasmikan pembukaan MotoPlex Sg Buloh, hari ini yang juga pusat pameran serba lengkap dan moden berstatus Motoplex ke-4 di Malaysia.

Apa yang menarik, MotoPlex Sg Buloh yang meletakkan jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu bumbung bukan saja MotoPlex terbesar di Malaysia, malah di Asia Tenggara.

Sebagai info, MotoPlex Sg Buloh dikendalikan operator terkemuka, Welly Bike dan ia mengikuti pembukaan Motoplex Petaling Jaya, MotoPlex Butterworth dan Johor Bahru.

Seperti pusat pameran berstatus MotoPlex yang lain, ia bukan saja menampilkan pusat pameran dan jualan, namun pusat servis, jualan alat ganti dan cenderahati untuk keempat-empat jenama di bawah Piaggio iaitu Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi.

Lebih menarik, MotoPlex Sg Buloh turut menampilkan kafe Richiamo Coffee yang menjadi daya tarikan tambahan kepada pelanggan.

Sebagai MotoPlex terbesar di Asia Tenggara, MotoPlex Sg Buloh memiliki keluasan 3,400 kaki persegi dengan 2,200 kaki persegi untuk pusat pameran dan jualan serta pusat servis 1,200 kaki persegi.

Menurut Piaggio Malaysia, pusat servis di MotoPlex Sg Buloh dilengkapi dengan peralatan diagnostik yang canggih dan dikendalikan oleh juruteknik dan mekanik terlatih bagi menjamin perkhidmatan berkualiti.

Didi Droup selaku juga pengimport dan pengedar jenama Piaggio di Malaysia menerusi Pengarah Urusan, Goh Kian Sin berkata pembukaan MotoPlex Sg Buloh membantu syarikat itu mengukuhkan posisi dan kehadiran jenama itu Di Malaysia.

"MotoPlex adalah 'rumah' untuk jenama ikonik Piaggio. Meletakkannya di bawah satu bumbung, kami berupaya untuk memberikan penawaran lebih baik kepada pelanggan berpotensi yang tercari-cari pengalaman dua roda Itali."

Turut hadir ke majlis perasmian MotoPlex Sg Buloh selain sesi 'Meet & Greet' eksklusif adalah tiga pelumba MotoGP Aprilia, Maverick Vinales, Aleix Espargaro dan Lorenzo Savadori.

Ketiga-tiga pelumba MotoGP Aprilia ini berada di Malaysia untuk mengharungi ujian rasmi pra-musim MotoGP di Sepang yang dijadual bermula esok.