MOTOSIKAL 150 cc Ke Atas Wajib Ada ABS 1 Jan 2025, YSuku, RS150, Raider Bakal Dihentikan Pengeluaran?
BERITA
8/13/20241 min read
SELEPAS dua tahun kajian, keputusan untuk mewajibkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk dijadikan komponen wajib bagi motosikal baharu bersesaran 150 cc ke atas akhirnya diumumkan.
Dan seperti dijangka, menurut laporan The Star, pihak yang menjalankan kajian berkenaan iaitu MIROS atau Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia mengesahkan perkara berkenaan akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025.
Antara alasan MIROS mewajibkan sistem berkenaan adalah ia meningkatkan ciri keselamatan sekaligus mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Berdasarkan kajian yang dibuat, ABS berupaya mengurangkan kes kemalangan maut motosikal sebanyak 30 peratus di mana sistem berkenaan dapat mengelakkan daripada terjadinya kejadian brek terkunci.
Dan ia sekali gus memberikan lebih kawalan kepada penunggang.
Begitupun, apa yang pasti perkembangan itu akan memberi kesan kepada beberapa pengeluar motosikal di Malaysia terutama yang memiliki penawaran motosikal atau skuter bersesaran atas 150 cc dan masih belum dilengkapi ABS.
Antaranya termasuklah Yamaha menerusi penawaran popularnya, Yamaha Y15ZR atau Ysuku, Yamaha MT-15, Yamaha NMax, Boon Siew Honda (Honda RS150R), Suzuki (Suzuki Raider R150Fi) dan beberapa penawaran daripada MForce termasuk Benelli R18i dan Aveta (SVR180) serba beberapa lagi.
Jika berpandukan kepada keputusan yang dibuat Miros, pengeluar-pengeluar ini hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada melengkapkan model-model berkenaan dengan ABS atau menghentikan pengeluarannya.
Dan andai penambahan ABS dilaksanakan, ia pasti akan meningkatkan paras harga motosikal atau skuter berkenaan, situasi yang pastinya akan memberikan kesan kepada pembeli.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau pengeluar membabitkan perkara berkenaan dikeluarkan. Jadi sama-sama kita tunggu dan lihat.