MOTOSIKAL Elektrik Kawasaki Ninja E-1, Z E-1 Dapat Kelulusan Di Australia

8/4/20231 min read

KAWASAKI terus mengorak langkah dan bersedia untuk melancarkan motosikal elektrik pertamanya, Kawasaki Ninja E-1 dan Kawasaki Z E-1 selepas kedua-dua model 'Streetbike' itu dilaporkan sudah memperoleh homologasi di Australia.

Ketika di acara EICMA, November tahun lalu, Kawasaki berjanji untuk memperkenalkan motosikal elektrik pertamanya tahun ini. Dan susulan data homologasi yang difailkan di Australia, pelancaran itu dijangkakan akan berlangsung tak lama lagi.

Menurut laporan Motorcycle.com, pemfailan homologasi itu turut disertakan dengan imej kedua-dua model Kawasaki Ninja E-1 dan Kawasaki Z E-1 yang nampaknya sudah berada pada tahap 'produksi'.

Dari sudut rekaan, Ninja e-1 (Nama kod NX011A) dan Z e-1 (NR011A) menggunakan platform dan panel badan yang sama dengan model 400 cc jenama itu.

Tetapi, sistem brek dilihat menggunakan model lebih lama iaitu Ninja 300 dan Z300. Pemilihan tayar pula menggunakan spesifikasi lesen A1 Eropah (Berkuasa rendah).

Dari sudut kuasa, motor elektrik yang dipadankan di Australia menghasilkan kuasa 9.0 kW (12.1 Hp) dan dijana oleh dua pek bateri boleh alih berkuasa 3.0 kwh dengan berat 12 kg (1 pek).

Dengan berat dikatakan hanya 135 kg (Z e-1) dan 140 kg (Ninja e-1), ia dianggap cukup menarik sekalipun tidak diketahui angka berkenaan sudah ditambah dengan berat bateri atau tidak.

Selain motosikal elektrik, Kawasaki sebelum ini turut menyatakan mereka akan melancarkan model motosikal 'hybrid' pada tahun depan dan model yang dikuasakan oleh Hydrogen juga sedang dalam pembangunan.