MOTOSIKAL Tercantik EICMA 2022, Ducati Diavel V4 (2024) Tiba Di Malaysia, asas mula RM 178,900!

PELANCARAN

9/27/20232 min read

DUCATI Malaysia enggan menunggu lama untuk membawa masuk motosikal yang memperoleh anugerah Motosikal Tercantik EICMA 2022, Ducati Diavel V4 (2024) bersama harga menarik bermula RM 178,900 (asas).

Sebagai info, Ducati Diavel V4 adalah model ke-6 diperkenalkan ketika Ducati World Premiere (DWP) 2023 dan apa yang mengujakan, ia kini menggunakan trenkuasa Granturismo V4.

Dan seperti model-model perdana Ducati yang lain, penggunaan trenkuasa Granturismo V4 dikatakan meningkatkan 'taraf' nama Diavel ke tahap yang berbeza atau bahasa mudah lebih tinggi. Sebelum ini, Ducati Diavel dipadankan dengan enjin berkonfigurasi V-Twin.

Sebelum pergi lebih jauh, Ducati Diavel v4 (2024) di pasaran Malaysia datang dua pilihan warna iaitu Ducati Red bersama harga asas RM 178,900 manakala untuk pilihan warna Thrilling Black, harga yang diumumkan adalah RM181,900 (asas).

Sebagai model generasi terbaharu Diavel, pelbagai pembaharuan dilakukan firma Itali itu terhadap Ducati Diavel V4 yang bukan saja daripada sudut trenkuasa, malah rekaan yang serba baharu dan menariknya ia tidak memadamkan identiti unik sebuah Diavel.

Kepada yang tak tahu, Ducati Diavel adalah penawaran Ducati dalam segmen 'Kruiser' dan bukannya 'Naked'. Ia membuat debut pada tahun 2010 diikuti generasi kedua pada 2015.

Dari sudut rekaan, Ducati Diavel V4 kekal gagah, maskulin dan menariknya, moden. Paling menarik dan membuatkannya ia menggondol anugerah di EICMA 2022 adalah rekaan bahagian belakang terutama lampu dengan corak sarang lebah.

Turut menarik perhatian adalah rekaan ekzos berkembar empat yang membuatkan penampilannya tambah agresif.

Menggunakan kerangka jenis ‘monocoque’ aluminium menggantikan ‘steel trellis’, Ducati Diavel V4 dipadankan dengan enjin Granturismo V4 bersesaran, 1,158 cc 90 darjah, 4 Silinder, 16 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 168 Hp pada 10,750 rpm dan tork 126 Nm pada 7,500 rpm. Menurut Ducati, motosikal ini mampu melakukan pecutan 0-100km di bawah 3 saat.

Dan kerana ia menggunakan enjin konfigurasi V4, selang servis utama adalah lebih tinggi iaitu setiap 60,000 km dan fungsi nyah aktif silinder belakang ketika berhenti atau pada putaran rev rendah turut ada membuatkan sistem penggunaan bahan api bertambah efisen.

Seperti model aras perdana Ducati lain, ia turut turut dilengkapi dengan ciri bantuan tunggangan elektronik seperti Kawalan Traksi, Kawalan Jelajah, ‘wheelie control’, ‘launch control’, ABS Selekoh dan 'Quickshifter'.

Memiliki empat mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Wet, Ducati Diavel V4 kini dipadankan dengan skrin TFT berwarna 5 inci yang memaparkan pelbagai maklumat.

Di bahagian suspensi, Ducati mendakwa tahap keselesaan Ducati Diavel V4 dipertingkatkan selepas menambah jarak pergerakan suspensi (fork USD) kepada 145 mm (terdahulu 160 mm). Selain itu, pergerakan 'monoshock' juga bertambah 15 mm.

Sistem brek cakera pula menggunakan brek cakera berkembar 330 mm (depan) dengan kaliper 4 Piston Brembo Stylema dan brek cakera tunggal 265 mm dengan kaliper Brembo 2 Piston (belakang).

Turut diperbaharui adalah jarak bar hendal yang kini 20 mm lebih dekat, berat kering 211 kg (13 kg lebih ringan) berbanding Diavel terdahulu selain ketinggian pelana 790 mm.

Kepada yang berminat, anda perlu bergerak pantas kerana Ducati Malaysia menjelaskan hanya 4 unit Ducati Diavel V4 (2024) diperoleh untuk penghantaran pertama.