MSBK 2023: Azroy Takluk Kelas Elit Perlumbaan 1 Di Sepang, 600 Milik Helmi!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/19/20232 min read
AZROY Hakeem Anuar dari Boon Siew Honda Racing Team tampil cemerlang selepas menjuarai perlumbaan kelas perdana pusingan 1 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Bersaing dengan jaguh-jaguh tempatan lain termasuk Azlan Shah Kamaruzaman dan Kasma Daniel Kasmayuddin yang lebih berpengalaman mengendalikan jentera 1,000 cc, Azroy yang pertama kali menunggang jentera baharu Honda CBR1000RR tampak tidak kekok sekalipun berdepan cabaran cukup sengit.
Saling bertukar kedudukan pendahulu bersama Kasma Daniel (Yamaha Gen Blu Racing Team dan Azlan (Horizon Racing Team), nasib begitupun tidak menyebelahi Azlan apabila dia terjatuh pada pusingan kelima.
Dan sekalipun dicabar sengit Kasma, Azroy berjaya mengekalkan momentum dan melepasi garisan penamat sebagai juara.
"Ini kali pertama saya menunggang jentera baharu Honda dan perasaannya cukup baik sejak daripada sesi ujian hingga awal perlumbaan," kata Azroy.
"Sasaran saya adalah untuk mengekalkan rentak dan memastikan catatan masa yang baik tetapi menuju penghujung perlumbaan, tayar saya memberikan masalah. Kasma juga terlalu laju pada tiga pusingan terakhir dan menghadirkan persaingan yang sengit. Saya menggunakan taktikal saya dan ia akhirnya berjaya."
Menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah Kasma dan melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba kelahiran Yaman, Osama Mareai (Savitar Racing Team).
Dalam kelas MSBK600, 'rakan sepasukan' Azroy, Helmi Azman muncul juara selepas bersaing sengit dengan seorang lagi pelumba negara dari pasukan sama, Khairul Idham Pawi atau KIP.
Sekalipun dicabar sengit sehingga garisan penamat, Helmi berjaya mempertahankan kedudukannya dengan KIP terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto (Yamaha Gen Blu Racing Team Asean) melengkapkan kedudukan podium.
“Ia adalah perlumbaan demi perlumbaan untuk kami. Kelajuan kami sedikit perlahan berbanding kejuaraan Asia. Kami juga masih mencari pelarasan yang terbaik," kata Helmi.
"Kami perlu menggunakan pelarasan sedia ada kerana ia lebih bagus untuk suhu yang lebih panas dan kerana cuaca hari ini tak begitu panas, sukar untuk kami mencari kelajuan yang sebenar. Apapun, kami melakukan yang terbaik."
Kecemerlangan Boon Siew Honda Racing Team diteruskan dalam kelas MSBK250 apabila pelumbanya, Md Irfan Haykal muncul sebagai juara diikuti rakan sepasukannya, Md Farid Hakimi di tangga kedua.
Kedudukan ketiga diraih pelumba India, Geoffrey Reviven Emmanuel dari pasukan Gusto Racing.
Sementara itu, pelumbaan Honda CBR250RR Challenge Cup dimenangi pelumba Vietnam, Cao Viet Nam dan untuk perlumbaan Berjaya Sompo Y16ZR Yamaha Race MasterClass, perlumbaan dimenangi Arash Tsunami dari pasukan Taycon Motor.
Keputusan Perlumbaan 1 MSBK 2023
MSBK1000
1. Azroy Hakeem Anuar, Boon Siew Honda Racing Team, 21’28:822s
2. Kasma Daniel Kasmayudin, Yamaha Gen Blu Racing Team Asean, 21’29:081s
3. Osama Mareai, Savitar Racing Team, 22’37:332s
MSBK1000B
1. Khoo Chee Yen, 22’57:898s
2. Raja Nazeem Iskandar, 23’10:717s
3. Md Syukri Mat Zoki, 23’14:409s
MSBK600
1. Md Helmi Azman, Boon Siew Honda Racing, 21’58:345s
2. Khairul Idham Pawi, Boon Siew Honda Racing, 21’58:567s
3. Soichiro Minamimoto, Yamaha Gen Blu Racing Team Asean, 22’14:852s
MSBK250
1. Md Irfan Haykal, Boon Siew Honda Racing, 20’08:730s
2. Md Farid Hakimi, Boon Siew Honda Racing, 20’08:769s
3. Geoffrey Reviven Emmanuel, Gusto Racing Team, 20’18:615s
MSBK250 B
1. Rakshith Dave, CRA Motorsports India, 20’52:433s
2. Md Izrul Huzaimi, Horizon Racing Team, 21’04:985s
3. Ke Huan Ni, Lady Boss Racing Team, 21’15:976s
Honda CBR250RR Challenge Cup
1. Cao Viet Nam, Vietnam, 20’18:615s
2. Nguyen Duch Thanh, Vietnam, 20’33:471s
3. Md Firdaus Hamdan, Malaysia, 20’52:557s
Berjaya Sompo Y16ZR Race MasterClass
1. Arash Tsunami, Taycon Motor, Taycon Motor, 17’52:477s
2. Md Shafiq Ezzariq, New Chen Motorsports, 17’52:491s
3. Ahmad Iqram Danish, SHH Penang Team, 17’52:651s
*Kedudukan podium sahaja