MSBK 2024: Azroy Sasar Podium, Helmi Mahu Terus Menang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/14/20241 min read

KEJUARAAN Superbike Malaysia (MSBK) 2024 memasuki Pusingan 2, hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang Petronas dengan dua kategori teratas - MSBK1000 dan MSBK600 dipimpin pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar dan Md Helmi Azman.

Beraksi dalam kelas elit menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R, Azroy melakar kejutan apabila menguasai Pusingan 1 dalam aksi yang turut membabitkan pelumba-pelumba terbaik di rantau ini.

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 sebagai pemenang namun hanya diberikan 12.5 mata berikutan perlumbaan ditamatkan lebih awal akibat cuaca buruk, Azroy yang berlumba bersama pasukan Boon Siew Honda Racing cemerlang menjuarai Perlumbaan 2.

"Musim ini hebat bagi saya tetapi sekali lagi, cabaran sentiasa ada tidak kira sebagus manapun kamu," kata Azroy. "Secara asasnya saya bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik di ASB1000 (ARRC) dan satu-satunya cara adalah untuk cuba mendapatkan pengalaman baharu dan belajar.

"Sasaran saya adalah menamatkan perlumbaan di podium dalam setiap perlumbaan dan saya berharap untuk membina keyakinan daripadanya," kata Azroy yang beraksi di pentas ARRC dalam kelas SS600.

Sementara itu, seorang lagi pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing, Md Helmi Azman namun beraksi dalam kelas MSBK600 mahu kejuaraan yang dimenanginya pada musim lalu kekal, sekalipun mengakui tugas itu makin sukar.

Sekalipun turut dibarisi pelumba-pelumba daripada ARRC, Helmi berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan pada Pusingan 1 dan berharap keputusan sama akan diraih minggu ini.

"Masih banyak kerja yang perlu dibuat kerana berlumba adalah proses penambahbaikkan yang berterusan," kata Helmi.

"Saya perlu mempertingkatkan skil tunggangan saya terutama untuk persiapan bagi satu lagi kejuaraan tahun ini."

"Saya juga berharap jentera akan menerima peningkatan kuasa jadi prestasinya dapat dipertingkatkan. Tahun ini tidak mudah seperti musim lalu kerana antara pencabar termasuklah beberapa nama besar daripada ARRC jadi ia pertarungan dari awal sehingga akhir.

"Sasaran saya pada musim ini sudah pasti untuk merangkul kejuaraan sekali lagi. Tiada sebarang alasan untuk mendapatkannya kerana ini adalah perlumbaan di laman sendiri dan sesuatu yang pelik jika kami tidak menang."