MSBK 2025: Duo Yamaha Racing Malaysia Takluk Litar Basah Di Sepang

Kemenangan menyaksikan Kasma Daniel dari Yamaha Racing Malaysia merampas carta kedudukan pelumba daripada pelumba Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/13/20251 min read

PELUMBA Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit MSBK1000 pada Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2025 yang berlangsung dalam keadaan litar basah di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC), hari ini.

Kemenangan turut menyaksikan pelumba kelahiran Johor itu merampas carta kedudukan pelumba daripada pelumba Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar dari pasukan Astra Honda Racing melengkapkan kedudukan podium.

Berlumba dalam keadaan litar basah, Kasma menggunakan kelebihannya yang memulakan perlumbaan di petak utama untuk menang.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Md Izam Ikmal Izamli memenangi Perlumbaan 1 MSBK600 dalam perlumbaan penuh mendebarkan dalam keadaan litar basah.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Izam bersaing sengit dengan pelumba Honda, Muhd Helmi Azman malah saling berbalas kedudukan pendahulu.

Begitupun, kesilapan yang berlaku pada beberapa pusingan terakhir menyebabkan Helmi terjatuh dan sekali pun berjaya kembali ke trek, Izam sudah berada jauh di depannya.

Pada satu ketika berada di luar kedudukan podium, Helmi yang pada dua pusingan sebelum ini beraksi dalam kelas perdana MSBK1000 berjaya bangkit dan menamatkan perlumbaan sebagai naib juara selepas memintas Khairul idham Pawi di saat akhir.

Khairul Idham yang juga pendahulu kejuaraan melengkapkan kedudukan podium.

Tiada kedudukan podium buat pelumba negara dalam kelas MSBK250 dengan pelumba Indonesia, Irfan Ariansyah menamatkan perlumbaan sebagai juara.