MSBK 2026 Buka Tirai Pada Mei, 4 Pusingan Saja!
Seperti edisi-edisi terdahulu, kesemua empat pusingan Kejuaraan Superbike Malaysia MSBK 2026 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC)
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/9/20261 min read


KEMPEN Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) musim 2026 bakal membuka tirai pada Mei yang menyaksikan sejumlah empat pusingan bakal berlangsung.
Seperti edisi-edisi terdahulu, kesemua pusingan dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS (SIC).
Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg berkata, perkembangan positif pada musim 2025 yang menyaksikan penyertaan semakin meluas daripada pelbagai negara, pasukan dan pelumba.
Ini menjadi bukti kejuaraan ini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat Asia dan global. Pertambahan penyertaan bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap MSBK sebagai platform kompetitif dan pembangunan, malah memperkayakan landskap perlumbaan dengan kepelbagaian gaya serta strategi.
"Ia memberi pengalaman berharga kepada pelumba untuk bersedia ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Ron Hogg menjelaskan, MSBK kekal untuk memperluas capaian dan kepelbagaian penyertaan, bukan sekadar medan ujian pelumba profesional tetapi juga inspirasi kepada bakat baharu.
“Kami gembira apabila peserta musim 2026 turut disahkan daripada negara jiran dan luar rantau, mengukuhkan lagi status antarabangsa kejuaraan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menegaskan, kejayaan MSBK sejak 2019 adalah hasil kerjasama erat dengan penganjura TWMR.
“Pertumbuhan penyertaan antarabangsa pada 2025 membuktikan profil global MSBK semakin meningkat. Selain menjadi platform penting buat pelumba, ia turut menyumbang kepada sektor pelancongan dengan menarik peminat dari seluruh rantau ke litar bertaraf dunia ini,” katanya.
Beliau yakin musim 2026 akan terus mengangkat industri perlumbaan negara, membuka lebih banyak peluang kepada jenama untuk berhubung dengan sukan ini serta khalayak yang pelbagai.

