MSBK2024: Farres Putra Selamatkan Maruah Negara Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/13/20241 min read

FARRES Putra Mohd Fadhil menjadi satu-satunya pelumba negara yang berjaya meraih kemenangan pada Perlumbaan 2 daripada tiga kategori utama - MSBK1000, MSBK600 dan MSBK250 - yang dipertandingkan di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2024, hari ini.

Lebih menarik, ia adalah kemenangan berganda buat pelumba pasukan Yamaha Tekhne Racing Team Asia selepas turut menjuarai Perlumbaan 1 MSBK250 pada Sabtu.

Dalam kelas elit MSBK1000, kemenangan menjadi milik pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvaphat daripada Honda Racing Thailand yang turut melengkapkan kemenangan berganda buatnya di Sepang.

Pelumba pasukan Yamaha Tekhne Racing Team Asia, Kasma Daniel Kasmayudin meraih tempat kedua dengan pelumba FGRT Project, Ibrahim Norrodin melengkapkan podium.

Sementara itu, perlumbaan MSBK600 yang berlangsung dalam keadaan litar basah susulan hujan turut dimenangi pelumba Thailand, Thanat Laoongplio dari pasukan Honda Racing Thailand.

Tetapi apa yang agak lucu, Laoongplio turut berdepan malang apabila terjatuh daripada jenteranya ketika sedang meraikan kemenangannya selepas melepasi garisan penamat.

Pelumba Jepun, Okaya Yuta meraih tempat kedua dengan Damok atau nama sebenarnya, Muhd Syarifuddin Azman (Boon Siew Honda Racing) melengkapkan kedudukan podium.

Farres dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada pasukannya kerana memberikannya jentera yang mampu mencabar kemenangan.

"Minggu ini benar-benar mencabar dengan begitu banyak kejutan," kata Farres. "Saya tidak menjangkakan untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Kami hanya menyasarkan untuk melakukan yang terbaik.

"Saya bertuah dengan peluang untuk berada di podium bersama Afif Amran, yang juga adalah mentor yang hebat.

"Terima kasih kepada Yamaha kerana menyediakan pelarasan yang amat hebat yang sememangnya membantu kami untuk mendapat podium hari ini."

Dalam pada itu, pelumba berpengalaman Ahmad Afif Amran yang juga rakan sepasukan Farres menamatkan perlumbaan MSBK250 di tempat kedua.

Pelumba Thailand, Kitsada Tanachot dari Honda Racing Thailand melengkapkan podium.