MSBK2024: Helmi, Farres Ceriakan Penyokong Negara Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/12/20241 min read

DUA pelumba negara, Helmi Azman dan Farres Putra Mohd Fadhil tampil menceriakan penyokong Malaysia yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS bagi menyaksikan Perlumbaan 1 Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2024.

Seperti dijangka, Helmi yang beraksi bersama pasukan Boon Siew Honda Racing menjuarai Perlumbaan 1 kelas MSBK600 manakala Farres yang juga pelumba pasukan Yamaha Tekhne Racing Team Asia menjuarai kelas MSBK250.

Lebih menarik buat Farres, penampilannya pada pusingan kali ini adalah menerusi tiket 'wildcard'.

Dan kejayaan kedua-duanya berdiri di podium sebagai juara sedikit mengubat keputusan pada kelas elit, MSBK1000 yang menyaksikan kemenangan disambar pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvaphat.

"Sasaran saya sejak awal perlumbaan adalah untuk mencipta jurang yang bagus daripada kumpulan," kata Helmi. "Saya fokus untuk memperbaiki catatan sepusingan saya, dan pelarasan ini saya rasakan cemerlang.

"Saya memperoleh perasaan yang hebat dengan jentera, dan suhu juga tidak begitu panas. Saya cuba untuk menyerap dari satu pusingan ke pusingan, dan apabila saya melihat catatan, saya hampir 3 saat mendahului kumpulan dan saya memutuskan untuk mengekalkan konsisten saya.

"Dan apabila hujan turut, saya hanya cuba berhati-hati dan fokus menamatkan perlumbaan dengan selamat."

Mengikuti Helmi di podium adalah pelumba Thailand, Thanat Laoongplio (Honda Racing Thailand) dan seorang lagi pelumba negara, Muhd Syarifuddin Azman juga dari Boon Siew Honda Racing ketiga.

Sementara itu, Farres tampak cukup gembira dengan kemenangan yang diperoleh di Sepang.

"Terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang menakjubkan," kata Farres. "Saya tidak merasa segembira ini dan bersama Yamaha dan mencapai tempat pertama amat bermakna kepada saya.

"Perlumbaan ini amat sukar, tetapi saya mempunyai rakan sepasukan yang hebat iaitu Afif Amran yang memberikan saya banyak sokongan dan membantu pelarasan jentera yang menyumbang kepada kemenangan ini."

Pelumba Indonesia melengkapkan kedua-dua kedudukan podium menerusi Irfan Ardiansyah dan Gerry Salim yang beraksi bersama pasukan Honda NWN SCK Racing.

Dalam kelas MSBK1000 yang berlangsung dengan penuh 'drama' termasuk kerosakan jentera dihadapi pelumba negara, Zaqhwan Zaidi (Boon Siew Honda Racing) selain kebakaran jentera yang dihadapi pelumba FGRT Project, Fahmi Abdul Wahaf.

Begitupun, dua lagi kedudukan podium kelas berkenaan berjaya diraih pelumba negara menerusi Azlan Shah Kamaruzaman (Horizon Racing Team) dan Kasma Daniel Kasmayuddin (Yamaha Tekhne Racing Team Asia).