MSBK2025: Giliran Honda Tawan Sepang!
Pelumba Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar menjuarai perlumbaan kelas perdana MSBK1000 manakala Md Helmi Azman menakluk perlumbaan kelas MSBK600
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/14/20252 min read


SELEPAS 'tenggelam' dengan kehebatan barisan pelumba Yamaha Racing Malaysia pada aksi di litar basah, semalam, Honda bangkit untuk mendominasi Perlumbaan 2 pada Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) hari ini.
Dalam kelas perdana MSBK1000, pelumbaan dikuasai pelumba Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar yang menafikan pelumba Yamaha Racing Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin untuk merangkul gelaran berganda dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Seorang lagi pelumba Honda Racing Malaysia, Md Zaqhwan Zaidi melengkapkan kedudukan podium.
Kemenangan begitupun tidak menggugat kedudukan Kasma sebagai pendahulu carta kejuaraaan dengan mengumpula 130 mata namun hanya dipisahkan dengan satu mata bersama Azroy.
Pelumba AMI Suzuki Motorsports, Adam Norrodin mengisi tangga ketiga keseluruhan dengan 69 mata.
"Keadaan cuaca hari ini amat panas, yang juga sesuatu yang saya mahukan, tetapi saya tidak dapat memberikan prestasi terbaik saya dari sudut catatan masa kerana saya tidak dapat melakukan rentak kelajuan 2 minit 6 saat di sini," kata Azroy.
"Saya perlu melihat kembali apa kekurangan kami kali ini, tetapi apapun, saya berterima kasih kepada pasukan saya atas kerja keras mereka. Kami perlu meneruskam momentum ini dan bersedia untuk mendapatkan keputusan yang baik pada Pusingan 5 ARRC di sini."
Keputusan Perlumbaan 2 MSBK1000 *5 Terbaik
AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA RACING MALAYSIA (21’23.822s)
KASMA DANIEL KASMAYUDIN – HONG LEONG YAMAHA MALAYSIA (21’24.265s)
MUHAMMAD ZAQHWAN ZAIDI – HONDA RACING MALAYSIA (21’25.957s)
ADAM NORRODIN – AMI SUZUKI MOTORSPORT (21’27.795s)
ANDI FARID IZDIHAR – ASTRA HONDA RACING (21’37.336s)
Dalam pada itu, pelumba Honda Racing Malaysia, Md Helmi Azman merangkul kemenangan dalam kelas MSBK600 sekali gus membalas kekalahannya dalam perlumbaan basah, semalam.
Tidak seperti Perlumbaan 1, Helmi tampak cukup bertenaga apabila memimpin perlumbaan berseorangan dan jauh meninggalkan juara Perlumbaan 1 dari Yamaha Racing Malaysia, Muhd Izam Ikmal Izamli di tempat kedua.
Seorang lagi pelumba Honda Racing Malaysia, Khairul Idham Pawi ketiga.
"Perlumbaan hari ini agak sukar. Pada minggu ini kami tidak berpeluang untuk mencuba sebarang pelarasan yang teratur, malah ketika perlumbaan pelarasan jentera masih jauh daripada ideal. Sasaran saya adalah untuk mendapatkan rentak perlumbaan 2 minit 10 saat tetapi hanya mampu melakukan 2 minit 11 saat.
"Keputusan hari ini adalah cara saya untuk menebus kekecewaan saya. Saya akan ambil pengalaman ini untuk perlumbaan berikutnya.
Keputusan Perlumbaan 2 MSBK600 *5 Terbaik
MUHD HELMI AZMAN – HONDA RACING MALAYSIA (22’07.363s)
MUHD IZAM IKMAL IZAMLI – HONG LEONG YAMAHA MALAYSIA (22’16.202s)
KHAIRUL IDHAM PAWI – HONDA RACING MALAYSIA (22’16.278s)
CAO VIET NAM – HONDA RACING VIETNAM TEAM (22’29.043s)
FARRES PUTRA MOHD FADHIL – HONG LEONG YAMAHA MALAYSIA (22’31.828s)
Dalam kelas MSBK250, kemenangan menjadi milik pelumba negara, Ahmad Afif Amran dari pasukan Superfast JRT x Rapido selepas Perlumbaan 1, semalam dimenangi pelumba Indonesia.
Podium turut dikuasai pelumba negara selepas rakan sepasukan Afif, Md Akid Aziz mendapatkan tempat kedua dengan pelumba Honda Racing Malaysia, Md Irfan Haykhal Amidi melengkapkan kedudukan podium.
"Alhamdulillah, syukur dengan kemenangan tempat pertama ini. Dengan keadaan cuaca tidak menentu semalam, kami juga tidak mempunyai data mencukupi untuk keadaan litar basah. Kami dapat kutip beberapa data dan syukur keadaan cuaca bagus hari ini."
Keputusan Perlumbaan 2 MSBK250 *5 Terbaik
AHMAD AFIF AMRAN – SUPERFAST JRT X RAPIDO (19’35.739s)
MD AKID AZIZ – SUPERFAST JRT X RAPIDO (19’39.588s)
MD IRFAN HAYKHAL AMIDI – HONDA RACING MALAYSIA (19’42.451s)
REYNAIDI PRADANA – REY RACING SPEED (19’42.734s)
SAI RAHIL PILLARISETTY – REY RACING SPEED (19’54.721s)
