MSF Komited Angkat Martabat Perlumbaan 'E-skuter, Gembira Penganjuran Edisi Sulung ‘Electro Blitz Challenge’

TERKINI

9/12/20232 min read

SUSULAN kejayaan penganjuran sulung ‘Electro Blitz Challenge’ - perlumbaan membabitkan e-skuter 'Terancang', minggu lalu, promoternya Malaysia Festival of Speed (MSF) menyasarkan untuk membawa acara berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

MSF dalam satu kenyataan berkata aktiviti membabitkan e-skuter bakal menempa era baharu di bawah kendaliannya dengan penganjuran lebih banyak acara perlumbaan secara terancang yang lengkap dengan ciri keselamatan.

Dan berikutan acara pengenalan ‘Electro Blitz Challenge’ yang berlangsung di TREX Bike Park, Eco Grandeur, Puncak Alam, minggu lalu, MSF meletakkan sasaran untuk menganjurkan tidak kurang tiga acara setahun termasuk acara perdana dengan kerjasama EcoWorld.

“Acara ini akan diadakan bersama-sama dengan acara "Anak-Anak Malaysia" Ecoworld, yang mereka anjurkan setiap tahun bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia," kata Prinsipal MSF, Adein Yein Khalid.

"Tentunya, kami akan berterima kasih kepada pihak Ecoworld, yang memberikan sokongan penuh kepada kami khususnya untuk penganjuran acara ‘Electro Blitz Challenge’, yang juga acara perlumbaan ‘e-scooter’ terancang yang julung kali diadakan di Malaysia."

Mengulas penganjuran ‘Electro Blitz Challenge’, Adien berkata pihaknya amat berpuas hati dengan perjalanan acara dua hari itu khususnya dalam membawa mesej keselamatan dalam menikmati keseronokan aktiviti e-skuter yang semakin popular di kalangan warga kota bukan sahaja sebagai mod pengangkutan tetapi aktiviti rekreasi bersukan.

“Kami di MSF sentiasa berpegang kepada prinsip mengutamakan ciri-ciri keselamatan dalam keseronokan berekreasi. MSF mempromosi dan menganjurkan perlumbaan-perlumbaan empat roda dan dua roda dengan meletakkan keselamatan sebagai perkara terpenting.

"Ini juga pendekatan yang akan kami gunakan untuk sukan e-skuter. Tiada kompromi dalam keselamatan,” kata Adien.

Terkenal di kalangan pemain dan penyokong sukan pemotoran dengan penganjuran perlumbaan seperti MSF SuperTurismo, yang merupakan festival perlumbaan ‘saloon cars’, MSF turut menganjurkan kejuaraan kebangsaan ‘Saga Cup’, perlumbaan lumba motosikal SuperMotard Kebangsaan dan Superbike di samping ‘MSF Merdeka Race’, yang bakal diadakan di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

“Seperti yang sudah kami lakukan dalam acara-acara kendalian MSF yang lain, kami mahu menanam semangat menjunjung nilai-nilai keselamatan dalam penggunaan e-skuter. Sekarang ini, ramai yang menggunakan kenderaan ini dengan sikap sambil lewa khususnya dengan tidak memakai peralatan keselamatan untuk berseronok.

"Ia bukan saja merbahaya kepada diri sendiri dan orang ramai tetapi juga membawa imej buruk aktiviti ini. Sama seperti stigma yang dibawa oleh gejala Mat Rempit untuk motosikal," katanya.

Justeru kata Adien, MSF juga akan teruskan membina segmen sukan ‘e-scooter’ dengan acara-acara lain pada masa akan datang sebagai acara sokongan; sekali gus mempopularkan lagi sukan ini di kalangan para peminat sukan pemotoran.