EDISI 2024 perlumbaan ikonik Merdeka Race Malaysia Speed Festival (MSF) bakal tampil cukup meriah menerusi penyertaan lebih 400 pelumba dalam kategori kereta dan superbike yang bakal berentap di Litar Antarabangsa Sepang Petronas, hujung minggu ini.
Berlangsung pada 31 Ogos hingga 1 September 2024, seperti diketahui, Merdeka Race seperti namanya menjadi antara sambutan bagi meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67.
Secara keseluruhan, enam kelas perlumbaan dipertandingkan dalam edisi kali ini iaitu: Rennplatz Standard Production; Rennplatz Standard Production Max; Vision HKS Super Touring; Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup; Super 1800; dan MSF Super Production.
Dan penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM 50,000 untuk tiga pemenang teratas dalam kesemua kelas perlumbaan.
Dimulakan pada malam Sabtu (31 Ogos 2024) menerusi perlumbaan MSF MegaLap Time Attack yang berlangsung daripada 7 malam hingga 11 malam, aksi kemudian bersambung pada Ahad (1 September 2024) menerusi perlumbaan MSF Superbikes.
Ia kemudian diikuti dengan Piala MSF Saga Merdeka 75 iaitu perlumbaan “mini enduro” selama 75 minit dengan dua pemandu bagi setiap kereta.
Kemuncak hujung minggu ialah Perlumbaan Merdeka - yang diadakan secara tradisinya sempena memperingati Hari Kebangsaan - iaitu perlumbaan endurance atau jangkamasa panjang membabitkan 340 pelumba dan 170 kereta yang akan bersaing di dalam 6 kelas perlumbaan berbeza membabitkan 99 pusingan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang yang berjarak 5.543 km.
Tahun ini, pihak penganjur iaitu MSF turut menjalinkan kerjasama bersama Petronas menerusi PETRONAS Primax.
"Perlumbaan Merdeka sudah berkembang menjadi salah satu acara tahunan yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar perlumbaan tempatan untuk peminat kerana kepelbagaian kelas perlumbaan yang ditawarkan,” kata Pengasas MSF Adian Yein Khalid.
"Dengan sokongan Petronas, kami berharap dapat meningkatkan lagi pengalaman dan keterujaan ini untuk para peserta dan peminat perlumbaan bergerak ke hadapan."
Sebagai info, tiada tiket kemasukan ke Grand Stand dikenakan untuk menyaksikan perlumbaan tetapi untuk mendapatkan lebih pengalaman, peminat boleh mendapatkan pas akses paddock.
Untuk MSF MegaLap Time Attack pada Sabtu (31 Ogos 2024), pas akses paddock berharga RM 20 dan boleh didapati dari Paddock Trek Selatan dengan acara bermula pada pukul 7 malam hingga 11 malam.
Untuk perlumbaan pada Ahad (1 September 2024), pintu akan dibuka bermula jam 3 petang dan pas akses Paddock Trek Utara dijual pada harga RM 35 manakala caj parkir adalah RM 10 dengan pas boleh diperolehi di pintu masuk ke Trek Utara pada hari perlumbaan.