MT Helmets-MSi Masih Perlukan Khidmat Bekas Mekanik Damok

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/26/20231 min read

MALAYSIA kekal memiliki wakil untuk 'beraksi' di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 musim 2024 susulan keputusan pasukan MT Helmets-MSi mengekalkan mekaniknya Muhammad Firdaus Mokhadzir.

Bergandingan dengan pelumba negara, Syarifuddin Azman atau Damok bagi musim 2023, khidmat Firdaus atau Daus nampaknya masih ditagih bersama pelumba baharu pasukan itu, Ryusei Yamanaka.

Berdasarkan hantaran pasukan itu dalam laman media sosial rasmi pasukan itu, Daus akan memegang tanggungjawab sebagai mekanik kedua kepada Yamanaka dari Jepun.

Memetik laporan BHarian, Daus berkata keputusan pasukan itu mengekalkannya sebagai menakjubkan dengan pengalaman musim lalu memberinya banyak pembelajaran.

Malah lebih menarik, Daus turut menyatakan dia sememangnya mengenali pelumba muda Jepun itu.

"Saya sudah mengenali dia (Yamanaka) sebelum ini. Jadi saya rasa tidak ada masalah untuk saya bekerjasama dengan dia. Dia pernah mengikuti latihan bersama kami di Eropah bersama-sama Damok dan Hakim Danish (Ramli)," kata Daus.

Mengulas lanjut, Daus mengesahkan seperti pelumba, kontraknya turut diuruskan ZK Racing.

"Untuk kontrak saya, MT beri kepada ZK untuk uruskan. Dia akan tengok bagaimana kontrak ditawarkan kepada saya seperti yang dilakukan ZK untuk menguruskan pelumba pada ketika ini."

Selain itu, memetik laporan BHarian lagi, Daus berkemungkinan memikul dua tanggungjawab pada musim depan iaitu di Kejuaraan Motosikal Dunia dan Kejuaraan Dunia JuniorGP.