MT Helmets-MSi Sah Tak Perlukan Damok Di Moto3 Musim 2024

TULAR

9/25/20231 min read

SELEPAS berterusan mengharungi kempen Moto3 yang tidak memberangsangkan musim ini, apa yang dibimbangkan terhadap pelumba Moto3 negara, Damok atau Syarifuddin Azman bersama MT Helmets-Msi menjadi kenyataan.

Tidak perlu menunggu sehingga pusingan penutup tirai, MT Helmet-Msi akhirnya mengesahkan pasukan itu tidak memerlukan khidmat Damok pada musim depan.

Perkembangan mengecewakan itu diperoleh hanya selepas 13 pusingan perlumbaan musim 2023 berlangsung dengan tiga pusingan tidak dapat disertai Damok susulan kecederaan.

Apa yang lebih mengecewakan, pengumuman 'perit' itu diumumkan sendiri oleh Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin selepas Damok sekali lagi menamatkan aksi tanpa pungutan mata di Grand Prix India.

"Satu keputusan yang mengecewakan selepas setengah musim hingga India, kita tidak dapat lihat perkembangan yang baik daripada Damok. Kita ada lihat langkah yang kecil di awal saingan tetapi selepas itu, sehingga di India, kita tidak dapat lihat perkembangan yang baik.

"Dan apa yang mengecewakan, saya diberitahu (oleh MT Helmets-Msi) yang mereka tidak mahu menggunakan khidmat Damok bagi musim 2024.

"Saya sudah cuba berunding dengan mereka namun ditolak dan meminta saya mencari pasukan lain," kata Zulfahmi yang juga bekas pelumba negara.

Mengulas lanjut, Zulfahmi begitupun masih belum berputus asa dan mempunyai kepercayaan kepada Damok malah menjelaskan pihaknya sudah pun mengadakan rundingan dengan beberapa pasukan di India.

"Saya ada berunding dengan beberapa pasukan minggu ini tetapi peluang nampak tipis. Apapun, saya akan cuba cari tempat untuk Damok. Berada pada September, kebanyakan pasukan sudah pun melengkapkan senarai pelumba dan hanya dua pasukan masih ada dan kami masih menunggu jawapan.

"Ketika ini, apa yang saya harapkan termasuk dalam ZK Racing adalah supaya Damok dapat meningkatkan prestasinya dan ubah keputusan yang dia peroleh sekarang."

Selepas 13 pusingan perlumbaan musim 2023 diharungi, Damok ketika ini hanya mengumpul 5 mata kejuaraan yang diperoleh ketika di Argentina selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11.

Tiada lagi pungutan mata diraih [pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu selepas itu.

Sebagai perbandingan, rakan sepasukannya Diogo Moreira dari Brazil ketika ini menghuni tangga ke-7 keseluruhan termasuk meraih beberapa podium dan mengumpul 101 mata.