MUGELLO Akan Jadi Penentu
Pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia berkata Pusingan ke-8 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 di laman sendiri, Mugello, Itali sebagai penting bagi menentukan keupayaannya untuk bersaing merebut kejuaraan pada musim ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/19/20251 min read


FRANCESCO Bagnaia menegaskan Pusingan ke-8 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 di laman sendiri, Mugello, Itali sebagai penting bagi menentukan keupayaannya untuk bersaing merebut kejuaraan pada musim ini.
Justeru, pelumba pasukan Ducati Lenovo itu mengakui yang kegagalan untuk bersaing memburu kemenangan akan memberi petanda dia berkemungkinan akan berdepan 'masalah' bagi baki kempen musim ini.
Juara dunia dua kali MotoGP itu menguji beberapa komponen baharu ketika ujian di Aragon, sehari selepas perlumbaan berlangsung antaranya cakera brek depan lebih besar, 355 mm berbanding 340 mm dan ia dikatakan berjaya meningkatkan keyakinannya.
Dan bersandarkan kepada rekod dominan Bagnaia yang memenangi lima kemenangan berturut-turut di Mugello termasuk aksi Sprint, jangkaan yang diletakkan kepadanya jelas tinggi.
Begitupun, Bagnaia turut memberi amaran yang perubahan dari sudut brek itu tidak diketahui akan menyelesaikan masalahnya malah mendedahkan yang susun atur di Mugello mungkin tidak membenarkannya menggunakan cakera bersaiz 355 mm.
"Di Aragon, benar yang pada perlumbaan Ahad saya tidak kompetitif, tetapi dari sudut perasaan saya berfikir ia tidak bergantung kepada apa yang kami lakukan di Aragon," kata Bagnaia.
"Jadi kita perlu lihat jika saya boleh mendapatkan perasaan yang bagus dan pelarasan yang baik sejak permulaan minggu.
"Saya tahu kepentingan untuk mendapatkan keputusan yang bagus di sini, dan saya akan cuba untuk melakukan semaksimum mungkin untuk mengekalkan rentak kelajuan dengan Marc (Marquez) yang secara normalnya paling kuat.
"Jadi saya akan cuba sekurang-kurangnya bersaing untuk merebut kemenangan. Jika saya tidak kometitif di sini, akan ada masalah. Jadi saya akan cuba untuk merebutnya."
Bagnaia mengakui dia tidak berada dalam situasi untuk memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Mugello berikutan prestasi hebat yang ditampilkan Marc dan adiknya, Alex pada musim ini.
Justeru, penting untuk memulakannya semula sejak Ahad di Aragon dan mengakui dia masih setapak ketinggalan berbanding Marc dan Alex.
Apa yang menarik, Bagnaia ketika ini ketinggalan 93 mata (nombor yang digunakannya) ketika ini di belakang Marc dan ketinggalan 61 mata di elakang Alex. Sebagai rekod, Marc tidak pernah di Mugello sejal 2014.
