MUGELLO Destinasi Kemenangan Sprint Sulung Raul Fernandez

Kejayaan itu diraih pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez selepas mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menewaskan pelumba pasukan 'kilang' Aprilia, Jorge Martin yang terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-2

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/30/20261 min read

PELUMBA pasukan Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez melakar sejarah peribadi apabila berjaya meraih kemenangan sulungnya dalam Perlumbaan Sprint MotoGP yang diperoleh pada Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello, hari ini.

Lebih menarik, kejayaan itu diraih selepas Fernandez dari Sepanyol mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menewaskan pelumba pasukan 'kilang' Aprilia, Jorge Martin yang terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Pelumba pasukan VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio melengkapkan kedudukan podium.

Tiba di Mugello kurang 2 minggu selepas menjalani pembedahan, pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez mencuri tumpuan apabila merampas kedudukan pendahulu sekali pun bermula di petak ke-4.

Begitupun, kelebihan Marquez tidak bertahan lama apabila dia mempamerkan tunggangan berhati-hati, membolehkan Fernandez memintasnya di selekoh ketiga pada pusingan pembukaan, sebelum Martin turut melakukan gerakan sama di lokasi berkenaan.

Penyandang juara dunia MotoGP itu Marquez terus goyah apabila dia dipintas oleh Diogo Moreira (LCR Honda) di selekoh keempat, sebelum kehilangan kedudukan kepada Di Giannantonio.

Selepas meraih kedudukan pendahulu, Fernandez mula mempamerkan rentak konsisten dan selesa menjarakkan diri daripada ancaman rakan senegaranya, Martin bermula pada pusingan keempat perlumbaan.

Perlumbaan turut diwarnai insiden kemalangan pada pusingan kelima apabila Enea Bastianini terbabas di selekoh ke-10 ketika cuba mengekang asakan pelumba KTM, Pedro Acosta, sebelum Franco Morbidelli turut terjatuh di selekoh sama beberapa ketika kemudian.

Persaingan kembali mendebarkan berbaki 4 pusingan apabila Martin mula merapatkan jurang daripada satu saat kepada hanya 0.5 saat namun, Fernandez kekal tenang apabila berjaya kembali melebarkan jurang sebelum melepasi garisan penamat.

Rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 manakala Marquez mempamerkan tunggangan bertahan yang baik untuk menamatkan saingan di tempat ke-5 selepas berjaya mengekang asakan Fermin Aldeguer.

Melengkapkan kedudukan 9 terbaik yang juga kedudukan pungutan mata adalah Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo) ke-7, rakan sepasukan Fernandez, Ai Ogura (ke-8) dan Pedro Acosta (Red Bull KTM) ke-9.