MULA Perlumbaan Moto3 GP Australia Petak Ke-19, Damok Puas Hati Prestasi Sesi Kelayakan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/21/20231 min read
PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman mengakui gembira dengan keputusan yang diperoleh pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Australia 2023, hari ini yang menyaksikannya akan memulakan perlumbaan di petak ke-19, esok.
Bergelut ketika sesi latihan bebas 1 dan 2 pada Jumaat, yang memaksa pelumba dengan julukan Damok itu menamatkan sesi kurang memberangsangkan, prestasi yang diperoleh ketika sesi kelayakan disifatkan lebih baik.
“Saya gembira dengan keputusan saya pada hari ini," kata pelumba pasukan MT Helmets - MSi itu dalam kenyataan media dikeluarkan ZK Racing.
"Pada sesi kelayakan sebentar tadi saya hampir ke Q2 (Kelayakan 2).
"Saya berpuas hati dengan pelarasan jentera saya dan dapat memperbaiki catatan masa saya."
Mengulas perancangannya ketika perlumbaan esok dengan cuaca di Phillip Island dijangka hujan, Damok berkata dia hanya perlu fokus dan memberikan yang terbaik.
"Saya perlu terus fokus dan memberikan 100 peratus untuk perlumbaan esok. Esok dijangkakan hujan dan angin yang kuat, jadi saya perlu lebih bersedia dengan walau apa pun keadaan.
"Saya harap esok semuanya berjalan dengan lancar dan saya berterima kasih kepada pasukan saya yang bekerja keras pada hari ini.”
Petak utama perlumbaan Moto3 GP Australia menjadi milik pelumba Jepun, Ayumu Sasaki dari pasukan Liqui Moly Husqvarna Intact GP diikuti Joel Kelso (CFMOTO Racing PruestelGP) dan Stefano Nepa (Angeluss MTA Team) lengkapkan barisan depan.
Rakan sepasukan Damok, Diogo Moreira mengikuti prestasi baik di Mandalika apabila menamatkan sesi kelayakan di kedudukan empat terpantas.