HAKIM Danish Ramli mengakui melakukan banyak kesilapan termasuk ketika sesi kelayakan yang memaksanya memulakan perlumbaan Pusingan 5 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Red Bull Ring pada petak ke-17.
Tiba di Austria selepas lebih sebulan berehat, ia tampak seperti memberi kesan kepada pelumba kelahiran Terengganu itu yang memulakan sesi latihan pertama di kedudukan ke-14 terpantas.
Melakukan catatan yang lebih teruk pada sesi latihan bebas 2 yang meletakkannya di kedudukan ke-20 terpantas, pelumba berusia 17 tahun itu sekadar melakukan catatan ke-17 terpantas pada sesi kelayakan.
Catatan yang dilakukannya, 1 minit 45.710 saat (s) adalah 1.676s lebih perlahan berbanding pelumba yang meraih petak utama, Rico Salmela.
"Saya melakukan banyak kesilapan ketika sesi latihan bebas 1 dan 2," kata Hakim Danish. "Saya cuba memperbaikinya tetapi tidak banyak.
"Ketika kelayakan, saya cuba memperbaiki lagi tunggangan saya, mengurangkan kesilapan.
"Banyak yang saya dapat perbaiki, cuba untuk meningkatkan lagi tekanan, pergi lebih laju namun ia masih tidak mencukupi sekalipun sudah memberikan sehabis baik."
Menuju ke Austria sebelum ini, Hakim Danish berkata sasarannya adalah mendapatkan kedudukan podium namun sasaran lebih realistik adalah kedudukan lima terbaik.
"Esok (hari ini), saya harap dapat buat lebih baik," katanya. "Saya berharap untuk dapat kejar kumpulan depan untuk tamatkan perlumbaan di kedudukan lima terbaik. Doakan kejayaan saya," katanya.
Sebelum aksi Austria, Hakim Danish yang menggunakan nombor 13 menghuni tempat ke-6 keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul 83 mata selepas empat pusingan berlangsung.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte memimpin carta dengan mengutip 140 mata diikuti Alvaro Carpe (127 mata) dan Valentin Perrone (117 mata).