MUNCUL Lagi Di KLBS 2023, Apa Cerita MV Agusta Di Malaysia?

TERKINI

9/20/20231 min read

SEDIA maklum, MV Agusta sudah pun mengumumkan 'kepulangan' semula kehadirannya di Malaysia, tahun lalu menerusi syarikat AFY Mobility (AMI) tetapi agak mengecewakan, tiada perkhabaran lanjutan atau menarik perhatian sehingga kini.

Menerusi AMI, MV Agusta Malaysia akan bertindak sebagai pengedar tunggal dan ekskusif produk motosikal jenama Itali itu selain perkara membabitkan alat ganti, barangan dan komponen khas di pasaran tempatan.

Dan apa yang lebih menarik, turut dilaporkan MV Agusta akan memanfaatkan kemampuan AMI yang memiliki fasiliti pemasangan di Shah Alam untuk mengeluarkan produk MV Agusta sebagai unit pemasangan tempatan (CKD).

Pernah beberapa kali membuat kemunculan rasmi termasuk di Grand Prix Malaysia tahun lalu, tetapi selepas sekian lama, tiada sebarang menarik didengar sebelum ia kembali membuat penampilan ketika Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023, hujung bulan lalu.

Tampil menayangkan beberapa model terbaik jenama itu, begitupun ia hanya sekadar pameran dan tiada perkembangan lanjutan seperti pelancaran dan sebagainya.

Tidak diperoleh secara rasmi, tetapi kami di MotoDotMy mendapat maklumat yang MV Agusta Malaysia dijadual membuat kemunculan rasminya pada tahun ini.

Dan menurut maklumat yang diperoleh lagi, antara punca yang dilihat 'melambatkan' proses pengenalan MV Agusta di Malaysia adalah membabitkan situasi syarikat induk jenama itu di mana Pierer Mobility, syarikat yang memiliki KTM, Huqsvarna dan GasGas sudah pun memperoleh peratusan saham besar terhadap MV Agusta Motor (Global).

Dan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun, pihak KTM sudah pun mengambil alih hak membabitkan pengedaran dan jualan.

Tidak diketahui sama ada Malaysia turut terkena tempias dengan situasi sama, begitupun menurut info yang diperoleh, MV Agusta Malaysia sudah pun membawa masuk pelbagai model jenama itu namun dalam unit yang cukup terhad.

Apa yang lebih menarik, jualan kepada motosikal-motosikal berkenaan sudah pun dibuka kepada yang berminat.

Dan menurut sumber itu, MV Agusta akan melakukan pelancaran rasmi tidak lama lagi selepas bilik pameran utamanya di Petaling Jaya siap sepenuhnya pada tahun ini.