JORGE Martin menyertai Aprilia sejurus menjulang gelaran dunia MotoGP 2024 dan tindakan itu disifatkan mungkin menyebabkan Ducati merasa 'kesal' dengan keputusan diambil sebelum ini.
Diletakkan sebagai pilihan utama untuk menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo bagi musim 2025, Ducati Corse sebaliknya memilih juara dunia lapan kali, Marc Marquez berbanding Martin.
Dan menariknya, keputusan itu dibuat pada pertengahan musim lalu yang menyaksikan Martin angkat kaki sekaligus membawa sekali plat nombor 1 yang dimenanginya ke Aprilia.
"Ketika semua ini diputuskan saya bukan juara. Sukar untuk mengetahui mengenai perkara seperti ini. Tetapi jelas yang ketika ini mereka mungkin menyesalinya," kata Martin dalam satu temuramah di televisyen Sepanyol memetik laporan Crash.net.
"Tetapi kamu perlu bertanya kepada mereka. Pada akhirnya, saya menjaga diri saya. Kehidupan boleh membawa kamu ke tempat yang kamu tidak dapat jangkakan."
Sebelum ini, bos Ducati Lenovo Davide Tardozzi pernah memberitahu yang pasukan itu terpaksa melakukan keputusan yang sukar untuk bagi senarai pelumbanya pada musim 2025.
Sejurus melengkapkan perpindahan ke Aprilia, ramai yang beranggapan yang Ducati akan mengendurkan sokongan terhadap Martin.
Begitupun, pengeluar Itali itu terus menghormati kontraknya bersama Pramac yang membenarkan Martin bersaing secara adil dengan Francesco Bagnaia.
"Kelengkapan yang saya ada sama seperti Pecco, saya tidak boleh menafikannya," kata Martin. "Tetapi layanan di pasukan 'kilang' jelas berbeza. Apabila kamu pelumba pasukan rasmi, semua orang bekerja untuk kamu, cuba untuk menjadikan kamu juara.
"Saya rasa seperti 12 orang dalam pasukan saya bertarung dengan dua atau tiga ratus orang. Ia menjadikan perkara lebih sukar. Tetapi saya berterima kasih kepada Ducati kerana tidak melakukan sesuatu kep[ada kami.
"Tiada siapa menjangkakannya, semua orang menjangkakan sesuatu yang pelik akan berlaku pada beberapa perlumbaan terakhir. Tetapi mereka amat jujur dan ia sesuatu yang layak mendapat pujian."