'MUNGKIN Tak Menang Kalau Alex Marquez Tak Buat Silap'

Sekalipun ia adalah kemenangan ke-12 daripada 13 perlumbaan dan ke-6 secara berturut-turut Perlumbaan Sprint musim ini, Marc Marquez mengakui dia tidak yakin mampu meraih kemenangan di Red Bull Ring tanpa kesilapan yang dilakukan adiknya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/16/20251 min read

PENDAHULU kejuaraan dunia MotoGP, Marc Marquez mengakui dia mungkin tidak menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Austria 2025 sekiranya Alex Marquez tak melakukan kesilapan.

Pelumba pasukan Ducati Lenovo itu mengetepikan kesilapan yang dilakukan ketika sesi kelayakan yang menyaksikannya memulakan perlumbaan di petak ke-4 sebelum memenangi gelaran Sprint ke-12 miliknya musim ini.

Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez yang memulakan perlumbaan di petak kedua memimpin perlumbaan sehingga pusingan ke-9 sebelum melakukan kesilapan pada selekoh 2 yang membenarkan Marc yang sentiasa berada rapat di belakangnya memintas.

Sekalipun ia adalah kemenangan ke-12 daripada 13 perlumbaan dan ke-6 secara berturut-turut, Marc mengakui dia tiak yakin mampu meraih kemenangan di Red Bull Ring tanpa kesilapan yang dilakukan adiknya itu.

"Kesilapan ketika kelayakan sedikit sebanyak menghukum kami," kata Marc kepada MotoGP.com. "Bermula di petak ke-4, saya tahu yang selekoh pertama penting. Apabila saya melihat saya berada di tempat kedua, saya hanya cuba untuk menyerang Alex dengan pantas.

"Tetapi dia menunggang dengan laju. Jadi saya tidak lebih laju daripadanya, atau saya cukup laju untuk memotongnya. Jadi saya memutuskan untuk mengikutinya.

"Pada satu ketika, bahagian depan mula bergerak sedikit kerana cara untuk mendapatkan slipstream membuatkan segala-galanya menjadi lebih sukar. Jadi saya memperlahankan sedikit, kemudian saya kembali pada pusingan-pusingan terakhir.

"Dia melakukan kesilapan kecil di selekoh 2b, dan tanpa kesilapan itu saya tidak tahu jika saya mampu untuk memotongnya. Tetapi ia sudah cukup untuk menang dan saya gembira untuk berkongsi tempat pertama dan kedua dengan Alex."

Kemenangan menyaksikan Marc meningkatkan jurang di puncak kejuaraan kepada 123 mata di depan adiknya.