MUSIM 2023 Macam Mimpi Ngeri - Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/4/20241 min read

JORGE Martin menyifatkan persaingan memburu gelaran dunia MotoGP musim lalu memberi tekanan hebat kepadanya dan digambarkan sebagai 'mimpi ngeri'.

Malah, pelumba Pramac Ducati itu berkata dia langsung tidak menikmatinya sekalipun berjaya meraih kemenangan, situasi yang jauh berbeza pada musim ini.

Berbanding tahun lalu, Martin ketika ini adalah pendahulu kejuaraan dunia dengan kelebihan 21 mata di depan pencabar terdekatnya Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo berbaki lima pusingan.

Justeru situasi jelas lebih baik buatnya ketika ini.

"Saya tidur dengan lebih baik sekarang," kata Martin. "Musim lalu amat sukar untuk diuruskan oleh saya. Mungkin tidak di sini di Jepun tetapi lebih di Thailand dan Malaysia yang amat sukar dan juga di Valencia.

"Saya fikir saya meningkat dengan banyak dari sudut mental. Saya berusaha keras sepanjang musim. Saya fikir saya sudah melakukan langkahan yang menakjubkan, jadi saya lebih menikmatinya sekarang.

"Saya gembira untuk kembali ke litar dan berlumba.

"Musim lalu bertentangan. Ia seperti mimpi buruk... Mimpi ngeri. Malah jika saya menang, saya langsung tidak menikmatinya. Tetapi kini saya amat gembira. Dan saya amat berbangga untuk berada di sini."

Mengulas aksi di Motegi, Martin berkata dia tidak merasa tekanan.

"Saya akan memberikan 100 peratus seperti biasa. Dan saya fikir saya adalah pelumba yang berbeza berbanding musim lepas. Musim lalu saya merasa amat kuat dan mungkin lebih pantas berbanding musim ini, tetapi pada musim ini saya mungkin lebih lengkap."