MUSTAHIL Dapat Keputusan Lebih Baik Selain Ketiga - Pecco
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/6/20241 min read


FRANCESCO Bagnaia tak berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai pendahulu carta kejuaraan MotoGP berakhir Grand Prix (GP) British 2024 namun tempat ketiga perlumbaan utama adalah podium ke-43 karier buat penyandang juara dunia itu.
Mengalami kemalangan pada Perlumbaan Sprint yang tidak memberinya sebarang mata, pelumba Ducati Lenovo itu tampak seperti bakal melakar kemenangan kelimanya namun ia tidak menjadi kenyataan.
Selepas mendahului hampir separuh perlumbaan, pelumba Itali itu kemudian melihat dirinya dipintas pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin sebelum dipintas rakan sepasukannya, Enea Bastianini yang kemudian muncul juara.
Mengenai prestasinya di Silverstone terutama pada perlumbaan utama, Pecco yang melepaskan takhta pendahulu kepada Martin mengakui keputusan ketiga adalah yang terbaik mampu diraihnya.
"Lebih daripada ini adalah mustahil. Gembira dengan keputusan tetapi menyedihkan ketika perlumbaan Sprint saya terjatuh," kata Bagnaia.
Mengulas lanjut, Bagnaia berkata dia berharap pasukannya dapat memberikan jawapan mengapa dia tidak mampu untuk mencabar Martin dan Bastianini.
"Saya berfikir yang saya menguruskan segala-galanya dengan baik dari sudut kelajuan dan tayar tetapi apabila Jorge memintas saya saya melihat dia berada dalam keadaan lebih baik berbanding saya dan saya mula bergelut dengan teruk," kata Bagnaia.
"Saya hilang (cengkaman) di bahagian depan dan Enea memintas saya. Saya mula memperlahankan kelajuan dan cuba menamatkan perlumbaan kerana lebih penting untuk cuba bersaing untuk kedudukan lebih baik.
"Dan mereka lebih pantas berbanding saya. Saya cuba melakukan semaksimum mungkin dan maksimum adalah kedudukan ketiga. Ini bukan kali pertama ia berlaku kepada saya," katanya.
Menuju GP Austria 2024, Martin kembali memimpin kejuaraan selepas mengumpul 241 mata hasil dua kedudukan kedua di Silverstone dengan Bagnaia di kedudukan kedua dengan 238 mata.
