MV Agusta Boleh Sertai MotoGP Pada 2027, Tapi...

Jenama motosikal premium Itali, MV Agusta ada sejarah panjang dalam arena sukan permotoran dunia dengan keseluruhan 36 gelaran dunia Grand Prix yang dijulang pada era 1950-an sehingga 1970-an dan menariknya, mereka minat untuk buat kepulangan semula

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/24/20252 min read

SEJARAH yang dimiliki pengeluar motosikal premium Itali, MV Agusta dalam arena sukan permotoran dunia cukup hebat dengan keseluruhan 36 gelaran dunia Grand Prix yang dijulang pada era 1950-an sehingga 1970-an.

Antara legenda yang paling dikenali adalah Giacomo Agostini, yang memiliki 13 gelaran dunia dengan jenama itu menyambut ulang tahun ke-80 dengan cukup unik dengan melancarkan model istimewa MV Agusta Superveloce1000 Ago (2025).

Dilancarkan sempena hari lahir ke-83 Agostini pada 16 Julai lalu, hanya 83 unit motosikal berkenaan dihasilkan dan dijual pada harga € 83,000 (RM 409,125).

Selepas sekian lama tidak beraksi dalam kelas elit di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), ada perkembangan menarik membabitkan jenama itu di saingan berkenaan.

Bekas bos MV Agusta, Hubert Trunkenpolz ketika ditanya mengenai penyertaan jenama itu di MotoGP oleh GPOne bersama Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat itu, Luca Martin berkata mereka berhasrat untuk kembali ke MotoGP pada 2027 tetapi dengan syarat.

"Kami perlu mengenal pasti bagaimana peraturan teknikal MotoGP akan ditetapkan dengan kehadiran Liberty Media untuk MV Agusta terbabit dengan perlumbaan ini. Kami berharap peraturan akan sama seperti syarat dalam Formula 1, di mana pasukan pengeluar seperti McLaren boleh menggunakan enjin berdaya saing daripada Mercedes dan mampu meraih kemenangan.

"Sejujurnya, dengan sumber yang ada, MV Agusta tidak akan mampu membangunkan enjin empat silinder 850 cc sendiri untuk MotoGP.

"Oleh itu, adalah lebih masuk akal sekiranya pengeluar dan pasukan berkongsi enjin seperti dalam Formula 1," kata Trunkenpolz.

Trunkenpolz yang keluarga adalah antara pengasas kepada KTM akan berkunjung ke GP Jerman untuk berbincang dengan bos Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta.

Konsep seumpama itu sememangnya tidak asing dengan Trunkenpolz yang menyaksikan jenama baharu GASGAS berentap di MotoGP pada tahun 2023 dan 2024 sebagai Red Bull GASGAS Factory.

Tetapi pasukan itu tidak menggunakan enjin dan casis tersendiri tetapi sebaliknya menggunakan casis dan enjin KTM RC16.

"Kami boleh menggunaka casis daripada syarikat seperti Kalex," kata Trunkenpolz. "Jika projek sebegini dibenarkan dalam MotoGP, ia boleh menjadi pilihan untuk MV Agusta kembali ke kelas perdana."

Ketua Pegawai Eksekutif baharu MV Agusta, Luca Martin berkata: "Kami sekarang sudah memindahkan Centro Stile MV Agusta dari San Marino ke Schiranna. Jika rancangan MV Agusta untuk era MotoGP 850 cc baharu tidak dapat direalisasikan, kami tidak akan bersaing dalam mana-mana kejohanan lebih rendah.

Trunkenpolz menambah: "MV Agusta membina legasinya dalam Kejuaraan Dunia 500 cc, jadi menyertai siri seperti Moto2, Superbike, atau Kejuaraan Dunia Supersport bukanlah satu pilihan. Siri perlumbaan seperti ini tidak sesuai dengan jenama kami."