MV Agusta Enduro Veloce (2024) Dirasmikan, Enjin 931 cc 3 Silinder Sebaris!

TERKINI

4/8/20242 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Itali yang kini milik firma Austria, MV Agusta memperkenalkan motosikal 'Adventure touring' yang dinanti-nanti dari jenama itu, MV Agusta Enduro Veloce (2024).

Sebagai info, kehadiran MV Agusta Enduro Veloce (2024) sebenarnya bukan baru dan pernah beberapa kali 'dimainkan' sebelum ini namun bersama nama berbeza, Lucky Explorer 9.5 di awal kemunculannya.

Dan namanya sekali lagi berubah pada tahun lalu menerusi nama LXP Orioli sebelum ia dilancarkan secara rasmi.

Tidak lagi mahu membuang masa, pengeluaran MV Agusta Enduro Veloce (2024) dijadual bermula seawal Mei tahun ini dan akan mula singgah di bilik pameran pengedarnya pada penghujung tahun.

Mengulas trenkuasa, MV Agusta Enduro Veloce (2024) dipadankan dengan enjin 931 cc, 3 Silinder Sebaris dengan kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 124 Hp dan tork 102 Nm.

Prestasi enjin boleh dilaras mengikut lapan tetapan Kawalan Traksi (TC), lima untuk perjalanan 'on-road', dua 'off-road' dan satu untuk permukaan basah.

Begitupun menurut MV Agusta, setiap tetapan Kawalan Traksi turut bergantung kepada jenis penggunaan tayar sama ada 'on-road' atau 'off-road' sekaligus memberikan MV Agusta 16 tetapan TC.

Memiliki 4 mod tunggangan - Urban, Touring, 'Off-road' dan Custom All-Terrain', dua mod terakhir turut membenarkan sistem ABS dinyahaktifkan.

Sistem elektronik lain yang dipadankan termasuklah Brek Enjin (2 tahap), 'Launch Control', Kawalan Jelajah, 'Anti-Wheelie', 'Cornering ABS' yang turut didatangkan dengan ciri 'Lift control' untuk roda belakang.

Segala sistem elektronik ini dikawal oleh 6-axis IMU dan boleh diakses menerusi panel meter TFT berwarna bersaiz 7 inci.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbaik (USD) daripada jenama Sachs 48 mm dengan ciri pelarasan penuh manakala suspensi belakang menggunakan penyerap hentak tunggal juga dari Sachs dengan pelarasan preload.

Untuk sistem henti, MV Agusta Enduro Veloce (2024) diberikan ciri premium menerusi penggunaan brek cakera berkembar 320 mm dengan kaliper Brembo Stylema dan cakera tunggal 265 mm belakang.

Dua tetapan ketinggian pelana turut tersedia iaitu 870 mm dan 850 mm dengan jarak lega bumi 230 mm. Ciri menarik lain termasuklah penggunaan sistem Kunci Pintar.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Ago Red dan Ago Silver untuk MV Agusta Enduro Veloce dan akan dijual pada harga £ 21,800 (RM 130,735) apabila ia tiba di bilik pameran pengedar kelak.

Di Malaysia, hak pengedaran dan import MV Agusta dimiliki oleh syarikat pengedar yang turut mengedarkan barisan model Suzuki di pasaran tempatan iaitu AMI.

Berdasarkan situasi semasa, tidak diketahui bila MV Agusta Enduro Veloce (2024) akan tiba di pasaran tempatan namun apa yang pasti, kehadirannya pasti amat dinanti-nantikan.