MV Agusta Kini Rasmi Milik Pierer Mobility

TERKINI

3/19/20241 min read

SYARIKAT induk kepada KTM, Pierer Mobility memperoleh pegangan majoriti saham dalam MV Agusta yang menyaksikan firma berpangkalan di Austria itu berubah status kepada pemilik.

Pierer Mobility sebelum ini memiliki 25.1 peratus pegangan saham ke atas MV Agusta sebelum ia ditingkatkan kepada 50.1 peratus.

Susulan pengambilalihan itu, Hubert Trunkenpolz kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengarah MV Agusta.

Manakala bekas bos syarikat itu, Timur Sardarov 'turun pangkat' dan menjawat jawatan sebagai Naib Presiden, Duta Jenama dan juga Penasihat kepada MV Agusta.

Sebagai info, selain KTM, Pierer Mobility turut memiliki dua lagi syarikat pengeluar motosikal iaitu Husqvarna dan GasGas.

Tahun lalu, KTM AG mengambil alih pengedaran MV Agusta di beberapa negara dan rancangan syarikat itu adalah meningkatkan kapasiti pengeluaran jenama itu kepada 10,000 unit setahun.

Menurut laporan, MV Agusta yang selama ini menghasilkan antara motosikal tercantik di dunia hanya menjual 1,800 unit motosikal sepanjang tahun lalu.

MV Agusta sebelum ini tidak pernah lagi daripada situasi membabitkan kewangan dan pernah dimiliki Mercedes-AMG, Harley-Davidson, syarikat pelaburan Rusia Black Ocean dan juga Proton.

Di Malaysia, hak pengedaran MV Agusta dipegang oleh syarikat penegdar dan pengimport Suzuki Malaysia, AFY Mobility Industries (AMI) dan baru saja melancarkan bilik pameran pertamanya di Petaling Jaya, baru-baru ini.