MV AGUSTA Sertai MotoGP 2025, Marc Marquez Jadi 'Joki'?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/22/20231 min read

TEORI yang mengaitkan juara dunia lapan kali, Marc Marquez dan KTM nampaknya belum berakhir dan terbaharu, pengeluar itu dilaporkan mahu 'memancing' pelumba bintang itu untuk MV Agusta yang dikhabarnya menyertai MotoGP pada 2025.

Kepada yang tak tahu, syarikat pengeluar motosikal Austria, KTM ketika ini memiliki 25 peratus pemilikan saham MV Agusta dan mereka ketika ini sedang terdesak mendapatkan lebih slot di grid MotoGP.

Tampak sedikit buntu ketika ini, salah satu cara untuk mendapatkan slot berkenaan adalah dengan penjenamaan semula jentera KTM RC16 kepada MV Agusta. Ia adalah taktik saya dilakukan untuk GasGas menerusi Tech3.

Begitupun, KTM perlu bekerja lebih keras kerana satu slot yang diperuntukkan oleh pengelola MotoGP, Dorna adalah bagi menggantikan Suzuki sebagai 'Pengeluar baharu'.

Jadi, untuk mendapatkan tiket berkenaan, KTM tak boleh sekadar menggunakan 'teknologi kejuruteraan covers set' sebaliknya perlu menjalankan modifikasi besar-besaran terhadap RC16 sehingga layak digelar 'Pengeluar baharu'.

Dan jika berjaya dan menariknya, jaguh Honda, Marquez akan diberikan tugas untuk menunggang jentera berkenaan.

Tidak diketahui dari mana sumber atau sama ada maklumat itu bersumber atau pandangan sendiri, teori berkenaan dilaporkan oleh penyiar antarabangsa, DAZN ketika Grand Prix Austria, minggu lalu.

"Kamu tahu apa yang KTM impikan? Kamu tahu apa perancangan pemasaran yang KTM benar-benar mahu lakukan di masa depan? Memiliki Mar Marquez bersama MV Agusta," kata wartawan DAZN, Ricard Jove.

"Itu adalah 'permainan' yang mereka suka dan mahukan. Apa yang masih belum diketahui adalah bagaimana kejuaraan boleh membenarkan KTM untuk diwarnakan sebagai MV Agusta atau menjadikan jentera itu berbeza daripada KTM.

"Tetapi, itu adalah objektifnya dan saya fikir ia adalah pelan pemasaran yang amat baik jika ia berjaya dicapai. Itu adalah perancangannya di masa depan atau di mana arah yang mereka ingin tuju.

"Ini adalah pandangan saya berdasarkan beberapa maklumat, tetapi ia adalah pandangan saya," kata Jove.

Syarikat pengeluar minuman tenaga, Red Bull menjadi salah satu alasan mengapa Marquez kerap dikaitkan dengan KTM. Awal minggu lepas, pelumba kelahiran Sepanyol itu memuji KTM yang ketika ini menghuni tangga kedua kategori pengeluar di belakang Ducati.

Sebagai info, kontrak Marquez bersama Honda dijadual berakhir pada penghujung musim 2024 namun juara dunia MotoGP enam kali itu sudah beberapa kali menyatakan pendiriannya untuk kekal.