MV Agusta Sertai MotoGP 2027?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/15/20241 min read


BOS Kumpulan Pierer Mobility, syarikat induk dan pemilik MV Agusta tidak menolak jenama pengeluar motosikal mewah Itali akan kembali ke kancah elit MotoGP seawal tahun 2027.
Pierer Mobility, yang turut memiliki KTM, Huqsvarma dan GasGas seperti diketahui melengkapkan pengambilalihan MV Agusta, tahun ini dan syarikat itu tidak berselindung ingin mengembangkan 'sayapnya' di MotoGP.
MV Agusta pernah mencipta kegemilangan di Kejuaraan Motosikal Dunia dan antara pelumbanya paling dikenali adalah legenda Giacomo Agostini.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan jenama itu kembali ke MotoGP menerusi Pierer Mobility, jawapan yang diberikan oleh salah seorang Pengarah Kumpulannya, Hubert Trunkenpolz agak menyakinkan.
"Itu masih harapan kami, dan kami merancang untuk membawa MV Agusta kembali ke kelas perdana," kata Trunkenpolz memetik laporan GPOne.
"Tetapi kami jelas tidak akan melakukannya dengan membangunkan enjin yang berbeza kerana enjin terbaik di MotoGP hanya satu, dan kami tidak mahu menafikan MV Agusta perkara itu.
"Kami juga mahukannya disebabkan oleh jenama ini.
"Pada 2027, KTM dan MV Agusta perlu berkongsi enjin baharu MotoGP 850 cc, yang menjawab mengapa MV Agusta tidak akan menjadi pengeluar yang berbeza pada 2027.
"Kami tidak mampu dan kami tidak boleh membenarkannya."
Mengulas lanjut perancangannya, Trunkenpolz berkata rancangan pertama adalah untuk mengembalikan kegemilangan MV Agusta dan ia bukan saja di pentas perlumbaan, namun di peringkat produksi.
"Rancangan kami dengan MV Agusta amat mudah," kata Trunkenpolz. "Bermula tahun 2024 hingga 2026 kami perlu membawa balik syarikat ke landasan yang betul.
"Ia memerlukan masa untuk menstabilkan segala aspek, daripada rangkaian produk hingga membabitkan hal produksi dan juga daripada sudut perniagaan.
"Sehingga kami tidak dapat mengatur segala-galanya dengan betul, jadi tiada makna untuk berlumba di MotoGP. Tetapi, 2027 mungkin tahun yang baik untuk MV Agusta menyertai MotoGP."
Sebagai info, MV Agusta sebelum ini pernah bersaing di Moto2 selama tiga tahun sehingga 2022.
Di pentas WSBK, MV Agusta turut beraksi dalam kelas WorldSSP dan menjadi antara pencabar kejuaraan.
