NAK Kurangkan Beban, Gabit Mohon Sertai YAKEB
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/30/20251 min read


KEPADA peminat sukan permotoran dua roda negara terutama kepada motosikal lasak atau motocross, nama Muhamad Habibullah Mohd Saleh yang lebih dikenali sebagai Gabit memang tidak asing.
Memetik laporan BH, Gabit ketika ini kembali diserang kanser hidung pada tahun lalu dan sudah pun melengkapkan 18 kitaran rawatan kemoterapi bagi merawat penyakit berkenaan.
Tetapi, serangan kali kedua itu meninggalkan kesan terhadap fizikalnya apabila matanya menjadi juling selain sukar untuk bertutur secara normal kerana lidahnya juga mula 'mengeras'.
Dan apa yang berlaku itu sekali gus menjejaskannya terutama bagi mencari sumber pendapatan.
Berikutan apa yang dialaminya, Gabit yang mempunyai tiga orang anak berkata dia ketika ini hanya bergantung kepada hasil perniagaan kecil menjual kopi di kawasan rumah dengan dibantu isterinya, Nurashyidahani Mohd Rashid.
Justeru, juara dua kali Kejuaraan FIM Supermoto Asia pada 2016 dan 2018 itu berharap untuk dapat menjadi ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
Menurut Gabit, dipermudahkan pada ketika dirinya perlu berulang alik dari Rawang ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Gabit berkata, setakat ini, semua kos rawatan termasuk perjalanan ulang-alik dari Rawang ke Putrajaya ditanggung sendiri.
Dan kesan daripada kanser ini turut menyebabkan badannya kerap berasa letih, kadang-kadang dua hingga tiga hari langsung tidak dapat bangun.
Malah, perniagaan kecil-kecilan kopi bersama isteri turut terjejas.
"Kerana itu memerlukan bantuan dari YAKEB supaya dapat meringankan sedikit beban saya untuk menjalani rawatan kanser saya ini," kata Gabit yang ditemui pada Majlis Aidilfitri Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), hari ini.
YAKEB dalam laporan balas berkata yayasan itu sedang memproses permohonan Gabit dan menegaskan mereka komited dalam membantu bekas atlet negara yang memerlukan.
