NAK Tingkatkan Kualiti Sukan Permotoran Negara? Ini Cadangan Jorge Lorenzo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/9/20241 min read

TUBUHKAN 'sekolah' berkaitan sukan permotoran dua roda, itu cadangan disuarakan juara dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo ketika ditanya mengenai cara untuk sesebuah negara khususnya di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia dalam melahirkan pelumba-pelumba yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa terutama di Kejuaraan Motosikal Dunia.

Sambil mengakui Malaysia berada di landasan tepat untuk melahirkan pelumba kompetitif, pelumba kelahiran Sepanyol itu yang ditemui dalam satu majlis di Kuala Lumpur berkata 'sekolah' berkenaan juga perlu dikendalikan bekas pemenang di kejuaraan peringkat dunia.

Selain daripada 'sekolah' khas itu, penganjuran beberapa siri perlumbaan untuk pelumba di peringkat akar umbi turut diperlukan bagi bakat-bakat muda ini mengembangkan potensi mereka.

"Saya fikir Malaysia dan Indonesia perlukan 'sekolah' ini, yang disertai beberapa juara yang boleh memberikan nasihat (berkongsi pengalaman) dan menganjurkan beberapa kejuaraan untuk golongan kanak-kanak," kata Lorenzo memetik laporan HMetro.

"Dengan cara ini mereka boleh meningkat kerana di sini penganjuran kejuaraannya tidak begitu kuat dan tidak ada juara yang boleh memberikan nasihat kepada kanak-kanak," katanya.

Malaysia pada ketika ini memiliki beberapa program perlumbaan di peringkat akar umbi antaranya seperti Kejuaraan Siri MiniGP Malaysia yang dikendalikan bekas pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia, Zulfahmi Khairuddin.

Menerusi program yang turut dibantu Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Kementerian Belia & Sukan itu, ia berjaya melahirkan beberapa pelumba muda yang mampu menyerlah di peringkat antarabangsa.

Antara yang paling dikenali ketika ini adalah seperti Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan yang muncul juara dunia di Kejuaraan Siri Dunia MiniGP tahun lalu.

Dari sudut pembangunan bakat, Malaysia turut memiliki beberapa kejuaraan yang turut membabitkan pelumba di peringkat akar umbi termasuk Cub Prix dan Kejuaraan Superbike Malaysia.