NAMPAK Mudah, Tapi Hakikatnya Sukar - Hafizh Syahrin
Hafizh Syahrin yang juga penyandang juara keseluruhan kelas elit ASB1000 itu cemerlang mengekalkan rekod bersih 100 peratus kemenangan selepas menakluk Pusingan 3 ARRC 2026 di Mobility Resort Motegi, Jepun
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/14/20261 min read


PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui deretan enam kemenangan berturut-turut yang dilakarnya di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini mungkin nampak seperti mudah untuk dicapai tetapi hakikatnya tidak seperti itu.
Penyandang juara keseluruhan kelas elit ASB1000 itu cemerlang mengekalkan rekod bersih 100 peratus kemenangan selepas menakluk Pusingan 3 ARRC 2026 di Mobility Resort Motegi, Jepun, sekali gus mengukuhkan cengkamannya selaku pendahulu kejuaraan.
Meskipun dilihat seakan langsung tidak mampu digugat di atas litar, pelumba yang mesra disapa 'El Pescao' itu mendedahkan terdapat banyak pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh dirinya dan seluruh pasukan di sebalik tabir.
"Syukur Alhamdulillah, kami berjaya menjelmakan aksi hujung minggu yang sempurna. Enam kemenangan berturut-turut!
"Orang luar mungkin melihat ia nampak mudah, namun di sebalik kejayaan ini tersembunyi pelbagai pengorbanan, latihan perit serta titik peluh setiap individu dalam pasukan," kata bekas pelumba MotoGP itu.
Kata Hafizh, rentak cemerlang yang dinikmati ketika ini adalah hasil kerja keras berpasukan yang turut mengharungi pelbagai cabaran sejak awal kejuaraan.
"Biarpun keputusan (perlumbaan) sentiasa memihak kepada kami, hakikatnya kami juga melalui fasa jatuh bangun sepanjang perjalanan ini. Justeru, kejayaan melakar enam kemenangan berturut-turut ini berasa amat bermakna dan sangat istimewa.
"Tanpa pasukan, saya tidak mungkin berada di tahap ini. Kejayaan ini adalah milik kita bersama.
"Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan penaja dan khususnya menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail atas peluang serta kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk mempamerkan aksi terbaik," katanya.

