'NASIHAT Marc Marquez Datang Dari Hati'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/4/20251 min read

JORGE Martin mengakui menghargai nasihat dan kata-kata semangat yang diperoleh daripada rakan seperjuangan di MotoGP susulan kecederaan dihadapinya terutama daripada juara dunia lapan kali, Marc Marquez.

Pelumba Aprilia Racing yang menggunakan nombor 1 pada musim ini itu berdepan kecederaan teruk ketika ujian pra-musim di Malaysia sebelum dipalit satu lagi kecederaan seminggu sebelum kempen 2025 bermula.

Ia menyaksikan bekas pelumba Pramac Ducati itu terlepas tiga pusingan perlumbaan di Thailand, Argentina dan Amerika Syarikat tetapi berkemungkinan akan membuat kepulangan semula di Qatar.

Dalam temuramah bersama Motorsport.com, Martin berkata dia menerima banyak kata-kata nasihat daripada pencabarnya namun apa yang keluar daripada mulut Marquez disifatkan datang daripada hati.

"Marc dan beberapa lagi pelumba, seperti Pecco (Bagnaia) memberitahu saya supaya mengambil masa, jangan terburu-buru," kata Martin.

"Ia adalah nasihat terbaik. Dalam kes Marc, apa yang dia katakan mengenai perkara ini memberi banyak makna kerana dia mengalami kecederaan yang panjang. Dia berkata menggunakan hatinya.

"Bagus apabila pencabar kamu menunjukkan rasa prihatin kepada kamu kerana ia turut bermakna mereka mahu melihat kamu kembali ke litar, bersaing untuk podium bersama mereka."

"Apabila rakan kamu sedang menderita, kamu benar-benar bersimpati terhadap mereka."

Marquez sebelum ini mendedahkan dia akan menghantar mesej bertulis kepada Martin sebelum GP Thailand agar tidak terburu-buru membuat kepulangan semua untuk beraksi.

Bekas pelumba Repsol Honda itu sebelum ini pernah berdepan kecederaan teruk pada musim 2020 namun cuba untuk kembali secepat mungkin untuk berlumba sebelum tindakannya itu memakan diri.

Keputusan itu menyaksikan Marquez terpaksa melupakan keseluruhan musim 2020 malah terpaksa mengharungi beberapa pembedahan susulan sebelum dapat kembali berlumba pada pusingan ketiga pada musim 2021 selain satu lagi pembedahan susuan pada 2022.