NASIHAT Marc Marquez Kepada Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/28/20251 min read


SEBAGAI juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez berkata dia mengetahui sedikit sebanyak mengenai 'keterujaan' rakan senegaranya, Jorge Martin dan nasihatnya kepada penyandang juara dunia itu selepas dia sekali lagi mengharungi kecederaan adalah 'hormati badan anda'.
Selepas mengalami kecederaan teruk ketika hari pertama ujian pra-musim di Sepang, Martin sekali lagi berdepan kemalangan ketika latihan kurang seminggu sebelum pusingan pembuka tirai MotoGP di Thailand.
Situasi malang itu memaksa pelumba yang menggunakan plat nombor satu bersama Aprilia Racing itu tersisih perlumbaan di Buriram, minggu ini selain Grand Prix (GP) Argentina.
Menurut Marquez, sebagai seorang rakan, dia bertindak untuk memberikan mesej kepada rakan senegaranya itu dan menawarkannya nasihat berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
"Apa yang berlaku kepada Martin, malangnya ia adalah sebahagian daripada sukan kami," kata Marquez memetik laporan Crash.net. "Saya sedikit sebanyak memahami situasi itu, terutama kerana menjadi juara dunia, motivasi kami melonjak, keyakinan kamu meningkat.
"Kadang kala, kamu tidak melihat had, tetapi saya menulis mesej kepadanya untuk meluahkan perasaan dan pengalaman saya. Saya hanya berkata kepadanya 'hormati badan kamu'.
"Saya tidak menghormati badan saya sebelum ini dan saya menerima akibatnya. Dan saya juga berkata kepadanya yang jika kamu terlepas tiga, empat, lima, enam pusingan, ia tidak bermakna apa-apa.
"Dia masih muda, mempunyai bakat yang besar, karier yang gemilang di depannya. Jadi saya mengucapkan kepadanya untuk mendapat kepulangan yang baik kerana mereka yang menggunakan nombor satu perlu mempertahankan nombor satu pada minggu perlumbaan."
Marquez sebelum ini berdepan detik sukar apabila dilihat terburu-buru untuk kembali berlumba selepas berdepan kecederaan teruk di bahunya pada 2020 yang menyaksikannya kemudian terlepas keseluruhan musim dan terpaksa mengharungi empat pembedahan utama dalam tempoh dua tahun sebagai proses pemulihan.
