NFOS 2025 Gegar Utara Tanah Air, Sasar 70k Pengunjung
Berlangsung di PICCA, Butterworth, Pulau Pinang, NFOS 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober ini dianjurkan oleh Northern Speedo dan Choii Motorsports dengan kerjasama penuh PMH sebagai penaja utama, serta sokongan pelbagai jenama dan pempengaruh automotif tanah air
TERKINI
10/4/20252 min read


KARNIVAL permotoran terbesar utara tanah air, Northern Festival Of Speed (NFOS) 2025, bakal menggegarkan hujung minggu ini dengan pelbagai aktiviti menarik yang dijangka menarik kehadiran lebih 70,000 pengunjung.
Berlangsung di PICCA, Butterworth, Pulau Pinang, acara yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober ini dianjurkan oleh Northern Speedo dan Choii Motorsports dengan kerjasama penuh PMH sebagai penaja utama, serta sokongan pelbagai jenama dan pempengaruh automotif tanah air.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan, pihaknya berbesar hati menjadi penaja utama NFOS 2025 sebagai tanda sokongan terhadap industri automotif tempatan dan usaha merakyatkan program permotoran kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami sanggup berbelanja besar demi menjayakan aktiviti automotif ini. Ia bukan sekadar pameran, tetapi satu platform untuk memupuk minat generasi muda dan memberi peluang kepada orang ramai melihat koleksi kereta unik dari pelbagai negara secara eksklusif,” katanya.
Antara tarikan utama ialah pameran motosikal elektrik (EV) keluaran pengilang bumiputera - model LION G1 GGR EV — yang kini mendapat permintaan tinggi. Pengunjung berpeluang melihat, menunggang uji dan merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal mesra alam ini.
PMH dan GGR turut menyatakan komitmen menyokong penuh usaha kerajaan ke arah mobiliti hijau dan teknologi EV, selaras dengan visi ‘Go Green Revolution’ yang semakin mendapat tempat dalam industri automotif global.
“Kami mahu menjadi pelaksana dan penyumbang utama dalam memberi pendedahan serta galakan kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada penggunaan motosikal dan kereta EV,” kata Izwan.
PICCA Butterworth dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana keluasan dan kesesuaian tapaknya untuk acara berskala besar.
NFOS 2025 turut mendapat sokongan padu daripada pempengaruh terkenal seperti Motor Maniac, Uncle Shah, Nim 199, Retro Havoc, Alie Kuoppa, Abe Mey Sarman Printing, Narock, Bateriku, ESR dan ramai lagi.
Lebih menarik, acara ini turut menarik perhatian peminat kereta dari Thailand dan Singapura yang sanggup hadir ke Malaysia untuk menyaksikan aktiviti seperti pertunjukan drift, pameran kereta ‘rare’, taxi drift, demo drift, car meet, car show dan pelbagai lagi.
Antara kemuncak NFOS 2025 ialah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah luar biasa — tiga buah kereta termasuk Mercedes A Class model W177 (Unregister) bernilai RM200,000, Nissan 350Z dan Honda Civic FD.
Dengan hanya RM15 tiket masuk, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyertai cabutan bertuah, tetapi juga menikmati pelbagai aktiviti seperti pertandingan “limbo stance”, “2 step competition”, permainan interaktif, booth jualan merchandise dan konsert artis popular seperti XPDC, Cherpen, 53 Universe, K.O.I dan ramai lagi.
