NICOLO Bulega Ganti Marc Marquez Di Sepang?
Ketiadaan juara dunia MotoGP 2025, Marc Marquez di Grand Prix (GP) Malaysia 2025 hujung bulan ini jelas mengecewakan khususnya kepada peminat pelumba itu sendiri dan Ducati ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa calon pengganti
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/8/20251 min read


PENGESAHAN ketiadaan juara dunia MotoGP 2025 Marc Marquez di Grand Prix (GP) Malaysia 2025 hujung bulan ini jelas mengecewakan khususnya kepada peminat pelumba itu sendiri dan Ducati.
Begitupun, situasi itu membuka ruang kepada Ducati Corse untuk mempertimbangkan beberapa calon pengganti dan antara yang nampak tepat adalah bintang WorldSBK, Nicolo Bulega.
Seperti diketahui, Marquez yang mengesahkan gelaran dunia MotoGP ke-7 di Jepun mengalami kecederaan bahu kanan selepas berdepan insiden ngeri di GP Indonesia dan kini menjalani rawatan konservatif tanpa pembedahan.
Dan dia dijangka berehat sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim.
Mengikut peraturan MotoGP, pasukan perlu menyediakan pelumba gantian yang layak dalam tempoh 10 hari selepas pengumuman penarikan diri rasmi dan Ducati yang sudah pun merangkul gelaran pelumba, pasukan dan pengeluar pada musim ini sekali pun tidak berada di bawah tekanan tetap perlu memenuhi komitmen penyertaan.
Ketika ini, calon utama adalah pelumba ujian, Michele Pirro yang sudah membuat lebih 50 penampilan sebagai wildcard dan pengganti sejak 2013.
Pirro juga pernah menggantikan Fabio di Giannantonio di Barcelona tahun lalu. Namun, dengan status konsesi ‘A’ Ducati yang menghapuskan penyertaan wildcard, peluang Pirro untuk meneruskan rekod penampilan tahunan sejak 2012 kini terjejas.
Berkemungkinan besar akan diturunkan ketika GP Australia pada minggu depan yang berjalan serentak dengan dengan pusingan akhir WorldSBK, situasi itu dijangka akan berubah di Sepang.
Berikutan pertindihan jadual, Ducati tidak boleh menyenaraikan barisan pelumbanya di WorldSBK seperti Bulega, Alvaro Bautista dan Andrea Iannone dengan Bulega yang ketika ini bersaing sengit bagi kejuaraan dunia WorldSBK bersama pelumba Turki, Toprak Razgatlioglu.
