NICOLO Bulega Hatrik Lagi

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, pelumba Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega seperti tidak mampu dicabar mana-mana pelumba yang ada di grid apabila mengungguli Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2, hari ini menyusuli kejayaan memenangi Perlumbaan 1, semalam

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/14/20261 min read

PELUMBA Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega mempamerkan dominasi mutlak di laman sendiri apabila melakar kemenangan hatrik pada Pusingan 7 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2026 di Misano, Itali, hari ini.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Bulega seperti tidak mampu dicabar mana-mana pelumba yang ada di grid apabila mengungguli Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2, hari ini menyusuli kejayaan memenangi Perlumbaan 1, semalam.

Apa yang menariknya, pusingan di bumi Itali kali ini menyaksikan kedudukan tiga pelumba teratas di pentas podium tidak berubah dalam ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan.

Rakan sepasukan Bulega, Iker Lecuona cemerlang memastikan penguasaan jentera pasukan kilang Ducati dengan menamatkan saingan di tempat kedua, manakala pelumba Barni Ducati, Yari Montella melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Kemaraan Montella ke pentas podium pada Perlumbaan 2 begitupun hampir terjejas namun nasib malang yang menimpa pelumba Bimota by KRT, Axel Bassani menyaksikannya kekal di tempat ke-3.

Bassani yang mempamerkan tunggangan kemas dan dilihat seakan sudah mengunci kedudukan tempat ketiga namun terpaksa berputih mata apabila jenteranya terbabas di Selekoh 8 pada pusingan-pusingan akhir perlumbaan.

Kejayaan menyapu bersih kemenangan pada hujung minggu itu membolehkan Bulega membawa pulang mata maksimum, sekali gus memimpin selesa carta kejuaraan dengan kutipan keseluruhan 434 mata setakat ini.

Kutipan mata yang luar biasa itu meletakkannya di kelas yang tersendiri dalam pemburuan kejuaraan dunia WorldSBK pertamanya.

Tumpuan kini akan beralih ke pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Litar Donington Park, United Kingdom (UK) pada bulan depan.