NICOLO Bulega Julang Kemenangan Berganda Di Magny-Cours

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/8/20241 min read

NICOLO Bulega memanfaatkan ketiadaan pendahulu WorldSBK, Toprak Razgatlioglu dengan merakam kemenangan berganda di Pusingan 8 WSBK 2024 di Magny-Cours, Perancis, hari ini.

Selepas tersisih awal pada Perlumbaan 1, semalam, pelumba pasukan Aruba.it Racing Ducati itu tampak cukup yakin untuk memenangi Perlumbaan Superpole yang turut menyaksikan rakan sepasukannya, Alvaro Bautista mengalami kemalangan.

Insiden itu menyaksikan penyandang juara dunia WorldSBK itu terpaksa disisihkan bagi Perlumbaan 2, dan berkemungkinan berehat panjang susulan kecederaan dihadapinya.

Ironinya seperti sumpahan, turut cedera dan tidak beraksi adalah Jonathan Rea dari Yamaha yang menyaksikan trio pelumba - Razgatlioglu, Bautista, Rea - yang mendominasi WorldSBK sejak 2015 kesemuanya tidak beraksi pada perlumbaan terakhir di Magny-Cours.

Dan kesempatan itu dimanfaatkan penuh Bulega yang merakam kemenangan selesa pada kedua-dua perlumbaan.

Pada Perlumbaan 2, kedudukan naib juara diisi pelumba berpengalaman Ducati, Danilo Petrucci (Barni Spark Racing) dengan pelumba Amerika Syarikat, Garrett Gerloff (Bonovo Action BMW) melengkapkan kedudukan podium.

Petrucci turut menamatkan Perlumbaan Superpole di tempat ketiga yang menyaksikan pelumba Itali itu menaiki podium dalam ketiga-tiga perlumbaan ditawarkan di Perancis.

Tempat kedua Perlumbaan Superpole dalam pada itu dimenangi pelumba Kawasaki Racing Team, Alex Lowes.

Berakhir aksi di Magny-Cours, Razgatlioglu terpaksa menerima hakikat yang jurang matanya dengan Bulega kini hanya tinggal 55 mata.

Pusingan 9 WSBK 2024 dijadual berlangsung di Litar Cremona, Itali pada 20 hingga 22 September depan dengan Razgatlioglu dijangka akan kembali beraksi.