NICOLO Bulega Lebar Rekod Di Misano
Seperti tidak mampu dicabar, pelumba pasukan Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega melepasi garisan penamat dengan jurang enam saat di hadapan pencabar terdekatnya dan ia dilakukan ketika perlumbaan berlangsung dalam keadaan litar kering
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/13/20261 min read


PENGUASAAN mutlak pelumba pasukan Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega berterusan apabila merangkul satu lagi kemenangan bergaya dengan menjuarai Perlumbaan 1 WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) 2026 di Litar Misano, hari ini.
Seperti tidak mampu dicabar, Bulega melepasi garisan penamat dengan jurang enam saat di hadapan pencabar terdekatnya dan ia dilakukan ketika perlumbaan berlangsung dalam keadaan litar kering.
Sebelum ini, pelumba kelahiran Itali itu pernah merekodkan kemenangan lebih besar pada Perlumbaan 2 di Australia dengan kelebihan 12 saat, namun perlumbaan ketika itu berlangsung dalam keadaan hujan.
Lebih manis, kejayaan Bulega hadir ketika dia turut menyamai rekod lapan petak utama berturut-turut - kejayaan yang sebelum ini dilakar legenda Ireland Utara, Jonathan Rea pada 2021.
"Satu hari Sabtu yang luar biasa dan saya sangat gembira," kata Bulega kepada WorldSBK.com.
"Kami mengharungi perlumbaan yang menakjubkan dengan rentak kelajuan yang sangat baik. Pada sesi Superpole pagi ini, satu lagi rekod berjaya saya cipta, jadi ini adalah detik dan hari Sabtu yang cukup hebat.
"Saya sudah lama mengimpikan untuk menang di Itali dalam kelas Superbike kerana sebelum ini saya hanya pernah memenangi satu perlumbaan kelas Supersport di sini. Dapat menang di hadapan semua peminat dan penyokong sendiri adalah sesuatu yang luar biasa."
Kata Bulega, kejayaan itu menjadi lebih bermakna kerana ia turut disaksikan oleh barisan pengurusan Ducati Corse termasuk Gigi Dall'Igna, Claudio Domenicali, Mauro Grassilli, dan Davide Tardozzi.
"Bagi pasukan dan pihak Ducati, ia sangat istimewa. Jentera Itali, pasukan Itali, pelumba Itali dan beraksi di bumi Itali, jadi semuanya cukup sempurna," kata Bulega.
Kejayaan mendominasi Perlumbaan 1 itu menyaksikan Bulega kini selesa mendahului kedudukan kejuaraan dengan kelebihan 113 mata ke atas rakan sepasukannya, Iker Lecuona yang terpaksa akur menamatkan saingan di tempat kedua.
Malah, kemenangan di laman sendiri itu melebarkan rekod luar biasa Bulega kepada 23 kemenangan perlumbaan berturut-turut.
Sekiranya dia mengekalkan momentum dan menyapu bersih dua lagi perlumbaan hari ini, dia bakal memahat sejarah meraih 25 kemenangan berturut-turut secara keseluruhan, serta kemenangan ke-21 untuk kempen musim 2026.

