NICOLO Bulega Lengkap Senarai Pelumba Ducati 2027, Kembali Ke VR46!

Penghijrahan itu menyaksikan Nicolo Bulega kembali ke pangkuan pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, tempat di mana dia memulakan karier Kejuaraan Dunia dalam kelas Moto3 pada tahun 2016 dan menjadi pelumba tunggal asal Itali di Ducati musim depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/9/20261 min read

PELUMBA Ducati yang sedang 'mengganas' di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) Nicolo Bulega sah menyertai pasukan VR46 Ducati bagi menghadapi kempen MotoGP bermula musim 2027, sekali gus melengkapkan barisan pelumba pengeluar asal Itali itu.

Penghijrahan itu menyaksikan pelumba kelahiran Itali berkenaan kembali ke pangkuan pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, tempat di mana dia memulakan karier Kejuaraan Dunia dalam kelas Moto3 pada tahun 2016.

Lebih menarik, Bulega yang turut membantu Ducati membangunkan jentera prototaip 850 cc baharu ketika ini, akan menjadi satu-satunya pelumba Itali dalam kem pengeluar itu yang didominasi pelumba Sepanyol, dan bakal bergandingan bersama Fermin Aldeguer.

Mengimbas kembali perjalanannya, Bulega cemerlang pada musim pembukaannya di Moto3 bersama VR46, namun prestasinya merosot pada tahun berikutnya ekoran faktor ketinggian dan berat badan yang membataskan potensinya.

Selepas mengharungi musim yang suram di kelas Moto2 pada 2019, dia terpaksa meninggalkan VR46 untuk menyertai Italtrans, sebelum memulakan semula kariernya dari bawah dalam kancah World Supersport (WorldSSP) pada 2022 yang membawanya kepada kejuaraan dunia pada 2023.

Kecemerlangan itu diteruskan di WorldSBK pada 2024 di mana dia melakar persaingan sengit selama 2 tahun bersama Toprak Razgatlioglu, sebelum mendominasi musim ini dengan 26 kemenangan selepas pelumba Turki itu beralih ke MotoGP pada 2026.

Pengalaman Bulega di pentas MotoGP juga bukan sesuatu yang asing memandangkan penunggang berusia 26 tahun itu pernah membuat penampilan sulung sebagai pelumba gantian kepada Marc Marquez pada pusingan akhir musim lalu.

Susulan kemasukan Bulega, pelumba VR46 ketika ini, Franco Morbidelli dijangka bertukar tempat untuk menyertai saingan WorldSBK bersama pasukan Aruba.it Ducati pada 2027, manakala rakan sepasukannya, Fabio di Giannantonio sah beralih ke Red Bull KTM.

Pada musim debutnya nanti, Bulega bakal merebut gelaran 'Rookie of the Year' berdepan saingan graduan Moto2 seperti David Alonso (Honda), Dani Holgado (Gresini), Izan Guevara (Pramac) dan Senna Agius (Tech3 KTM).

Peralihan jentera MotoGP kepada tayar Pirelli bermula era 850 cc ini dijangka memberi kelebihan buat barisan pelumba muka baharu ini berbanding pelumba elit sedia ada yang perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri selepas terbiasa dengan tayar Michelin.